Universiti Johor  akan ditubuh jika pembangkang ambil alih kuasa

Universiti Johor akan ditubuh jika pembangkang ambil alih kuasa

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor akan mempertimbangkan untuk menubuhkan Universiti Johor sekiranya Pakatan Harapan memerintah di negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, kewujudan universiti itu adalah bertujuan untuk mempertingkatkan lagi mutu pendidikan di negeri ini.

“Amanah melihat berlaku kelopongan dalam pembangunan pendidikan di negeri ini selepas pihak kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak telah banyak memotong bajet untuk sektor pendidikan dalam Belanjawan 2018 yang lalu.

“Pihak kami merasa bertanggungjawab untuk merealisasikan keperluan rakyat khususnya bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk belajar dengan mewujudkan universiti khas di Johor seperti mana yang telah diwujudkan oleh negeri-negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini seperti dilapor MG.

Aminolhuda menambah, ketika ini telah pun wujud Kolej Yayasan Pelajaran Johor dan perancangan Amanah hanya perlu menaik taraf kolej tersebut menjadi sebuah universiti di Johor sekaligus dapat menyemarakkan lagi pendidikan di negeri ini.

Jelasnya, Amanah juga bercadang untuk mewujudkan biasiswa kepada rakyat Johor yang mahu memasuki universiti berkenaan dan keutamaan akan ditumpukan kepada rakyat atau golongan terendah yang ingin menyambung pelajaran mereka.

“Pihak kami akan berusaha ke arah bagi merealisasikan universiti khas di negeri Johor ini bagi meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini dan pihak kami memandang berat akan sektor pendidikan di negeri ini,” katanya lagi dalam kenyataan itu.

COMMENTS

Wordpress (0)