Malaysia Dateline

Universiti Malaysia dan Indonesia jalin kerjasama penyelidikan inovasi serantau

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah secara rasminya telah memeterai memorandum persefahaman dan jalinan kerjasama dengan dua buah universiti utama di Indonesia yang telah diadakan di Yogyakarta dan Lombok, Indonesia baru-baru ini.

Menurut Rektor UiTM Cawangan Kedah, Prof Madya Dr Shaiful Annuar Khalid, jalinan kerjasama ini dapat dijadikan langkah awal untuk memperkembangkan perhubungan akademik serantau di UiTM khususnya dan Malaysia secara amnya.

Malah kata beliau lagi, UiTM Cawangan Kedah akan memastikan hubungan kerjasama tersebut akan memberikan impak positif secara global kepada sektor akademik universiti serta juga membantu kesarjanaan kakitangan universiti dan masyarakatsekitar kampus.

“Kita akan memastikan kemajuan bidang akademik serantau akan dijadikan teras dalam perancangan pemajuan UiTM Cawangan Kedah, terutamanya untuk tahun 2020.

“Perjanjian yang dimeterai ini menyaksikan kerjasama antara UiTM Cawangan Kedah dan Universitas Mataram, Lombok dan Universitas Sarjanawiyata Tamansiswa, Yogyakarta.

“Ia berkait rapat mengenai aspek perhubungan akademik melalui pertukaran ilmu dan kepakaran berkaitan penyelidikan, penelitian inovasi pembelajaran serta pembangunan nilai-nilai kebudayaan serantau, ” ujarnya.

Tambah Shaiful Annuar lagi, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah diberikan mandat untuk menjalankan pelbagai aktiviti akdemik.

Tegasnya, ia turut merangkumi pertukaran staf dan pelajar antara kedua-dua buah universiti terlibat.

Jelas beliau, melalui jalinan kerjasama tersebut adalah diharapkan ia dapat memberi manfaat bukan saja kepada para pelajar dan unversiti terbabit, tetapi juga hubungan baik dan akrab antara Malaysia dan Indonesia.