Malaysia Dateline

Universiti Malaysia, Indonesia harus gembleng tenaga perkasa bahasa, budaya

Universiti di Indonesia dan Malaysia harus bersama-sama menggembleng tenaga dalam soal memperkasakan bahasa, budaya serta warisan negara masing-masing bagi memastikan semua aspek itu gah di persada dunia.

Pengerusi Yayasan Budi dan Yayasan Warisan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata sekalipun perkara itu sukar dilaksanakan kerana bahasa dan budaya telah dicemari oleh pengaruh barat namun kedua-dua negara perlu mencuba supaya kekuatan tenaga bahasa serta budaya Malaysia dan Indonesia lebih gemilang.

“Tiada ertinya Revolusi 4.0 jika bangsa nusantara tidak berada di dalamnya. Justeru kita hendaklah melestarikan budaya dengan mengindahkan kembali bahasa Melayu walaupun agak sukar kerana struktur bahasa itu mengalami banyak perubahan dan sebati dengan masyarakat,” katanya.

Rais berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Susastera, Bahasa dan Budaya Nusantara (SUTERA) 2019 anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dikendalikan Pusat Bahasa dan Antarabangsa, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, malam tadi.

Seminar bertema ‘Bahasa, Sastera & Budaya Mendepani Era Revolusi Industri 4.0’ itu berlangsung selama dua hari di Auditorium Pusat Penyelidikan UKM di sini bermula semalam disertai 100 peserta dari Indonesia, Belanda dan Malaysia.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Naib Canselor UniMAP Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Raduan Che Ros dan Pengarah ATMA Prof Dr Supyan Hussin.

Terdahulu, Badlishah berkata penganjuran SUTERA 2019 bertujuan memartabat dan memperjuangkan ketuanan, kekuatan serta wibawa sesebuah tamadun yang berdiri atas semangat penghayatan sastera, bahasa dan budaya nusantara di mata dunia.

Katanya seminar itu juga merupakan medan ilmu bagi penyelidik, ahli akademik, pendidik dan mahasiswa dari seluruh dunia khususnya dunia Melayu bertemu dalam usaha perkongsian serta pelestarian ilmu bahasa, sastera dan budaya nusantara berasaskan kajian dan penyelidikan.