Malaysia Dateline

Universiti mana akan tawarkan ijazah kehormat kepada Tajuddin?

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok secara berseloroh bertanyakan universiti mana yang akan menawarkan ijazah kehormat kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Wakil rakyat DAP itu berkata demikian selepas mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik dari Kolej Unversiti Jesselton (JUC).

“Tahniah kepada Bung Moktar kerana telah dianugerahkan gelaran doktor kehormat. Jom lihat universiti mana yang akan menawarkan ijazah kehormat kepada Tajuddin Abdul Rahman,” katanya.

Terdahulu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno menerima penganugerahan itu daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.

Ijazah kehormat itu dianugerahkan kepada Bung di atas jasa bakti dan sumbangannya dalam bidang politik, pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri berkenaan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kajian Dasar dan Analisis) Fakulti Sains Politik Unversiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain Bung, turut menerima anugerah yang sama ialah Ahli Dewan Negara yang juga Pengarah Asia Coding Centre Sdn Bhd, Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah.

Bung Moktar Radin dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik dari JUC.