UNSC perlu lakukan pembaharuan melambangkan orde baru dunia, kata Duta

UNSC perlu lakukan pembaharuan melambangkan orde baru dunia, kata Duta
Dr Makio Miyagawa

rlu berubah untuk terus kekal relevan, di samping memainkan peranan lebih berkesan dalam menghadapi cabaran yang mempengaruhi dunia hari ini.

Duta Besar Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa berkata pembaharuan itu amat perlu, memandangkan peranan dan tanggungjawab yang digalas badan paling berkuasa di dunia itu bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia harus seiring dengan realiti geopolitik dan sosio ekonomi semasa.

Bercakap kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di sini, baru-baru ini, beliau berkata pembaharuan juga penting kerana PBB sedang memperluaskan keanggotaan, komitmen serta sumbangan negara anggota.

Beliau berkata UNSC dilihat tidak demokratik sejak penubuhannya pada 1945.

“UNSC tidak pernah membuat pembaharuan bagi mewujudkan keseimbangan sejak tertubuhnya PBB. Justeru, kami ingin UNSC lakukan reformasi,” ujar beliau.

Jepun, yang menyertai badan dunia itu pada 1956, bergiat aktif melalui pelbagai program sosial dan ekonomi, serta dalam misi pengaman PBB di seluruh dunia.

Negara itu juga merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada bajet umum PBB.

Jepun, bersama Jerman, India dan Brazil – dikenali negara G4 – berusaha untuk diterima masuk sebagai anggota tetap dan antara penyokong kuat untuk reformasi UNSC.

Bagaimanapun, usaha Jepun itu mendapat bantahan China dan Korea Selatan.

Miyagawa menyokong kenyataan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York baru-baru ini, yang mengatakan ia mencerminkan sentimen dikongsi banyak negara mengenai perlunya reformasi dalam UNSC dan menjadi badan yang lebih berkesan untuk memelihara keamanan dan keselamatan di seluruh dunia.

Dr Mahathir mencadangkan supaya penggunaan kuasa veto hanya sah jika dua negara yang mempunyai kuasa veto bersama tiga anggota yang tidak memiliki kuasa veto bersetuju untuk menggunakannya demi memastikan kekerapan salah guna kuasa veto berkurangan.

Pendapat sama turut dikongsi Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang juga mahu melihat UNSC melakukan pembaharuan struktur.

UNSC terdiri lima ahli tetap iaitu China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, masing-masing memegang kuasa veto dan 10 anggota tidak tetap yang dipilih untuk tempoh dua tahun.– BERNAMA