Malaysia Dateline

Untuk adil, rehatkan Menteri KDN, KPN, pengganti ketika Hamzah perlu disiasat

Bekas Timbalan Menteri Undang-undang mencadangkan agar Datuk Seri Hamzah Zainudin, Tan Sri Hamid Bador dan Datuk Seri Acryl Sani Abdullah direhatkan buat sementara sehingga siasatan ke atas mereka selesaikan dijalankan.

Cadangan ini dibuat oleh Mohamed Hanipa Maidin dalam satu kenyataannya ekoran pendedahan Ketua Polis Negara (KPN) tentang campur tangan Hamzah dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini sedang tular ke dalam semua media sosial di Malaysia.

Hatta video kenyataan Hamid Bador itu kini menjadi video yang paling popular di kalangan pengguna media sosial. Tiga video utama bahkan keseluruhan rakaman video yang berkaitan dengan kenyataan itu telah menjadi video utama yang dikongsikan oleh para netizen.

“Pada hemat saya, memandangkan dakwaan dan tuduhan yang dibuat oleh Tan Sri KPN itu adalah satu tuduhan yang amat serius, maka adalah wajar dan munasabah untuk tuduhan seserius tersebut disiasat.

“Justeru itu, bagi saya, untuk membolehkan sebuah siasatan yang adil, profesional, berintegriti dan bebas dapat dilakukan oleh pihak polis, maka adalah amat wajar YB Menteri KDN perlu diminta untuk di”rehatkan” sehingga tamatnya proses penyiasatan tersebut.

“Sudah tentu tidak salah juga untuk meminta Tan Sri KPN dan bakal penggantinya untuk turut “direhatkan” agar proses siasatan tersebut dapat dilakukan dengan telus dan lancar,” kata Ahli Parlimen Sepang itu dalam kenyataannya.

Media melaporkan bahawa Tan Sri Ketua Polis Negara ( KPN) telah mendedahkan beberapa tindakan Hamzah yang didakwa cuba campurtangan ke atas pasukan uniform tersebut.

Untuk berlaku adil kepada Menteri berkenaan, kata Hanipa, apa yang didedahkan oleh KPN tersebut , masih berstatus hanya sekadar suatu tuduhan atau dakwaan lagi di peringkat ini.

“Ya, berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang atau the rule of law, adalah tidak wajar untuk mana mana pihak terus melompat dan membuat kesimpulan bahawa beliau adalah dikira bersalah, sebenci dan semeluat mana pun seseorang itu ke atas YB Menteri berkenaan,” kata Hanipa.

Katanya, dalam siatem yang ada sekarang ini, sudah tentu pihak polis yang perlu dan bertanggungjawab untuk menyiasat.

Persoalannya, kata Hanipa, bagaimanakah pihak polis yang berada di bawah tanggungjawab dan kawal selia KDN boleh mampu melakukan siasatan yang benar benar bebas, profesional dan tidak diragui ke atas seorang Menteri KDN yang mana institusi polis tersebut sendiri adalah di bawah kawal selia kementerian beliau.