Malaysia Dateline

Untuk apa ada usrah di sekolah?

Anak saya cerita, di sekolahnya ustaz/ah suruh buat usrah. Satu ketika, pelajar-pelajar diberi nota pasal Rukun Iman kemudian minta bincang dalam usrah. Anak saya diminta jadi naqibah.

Anak saya kata, dia tidak minat langsung bab-bab usrah ini. Bosan, mengantuk, tipikal, asyik ulang hal sama, tiada penambahbaikan dan tidak membantu untuk berpemikiran kritis. Dua-dua anak saya itu pula kaki debat, lagilah mereka bosan.

Ada satu masa, ustazahnya marah dia sebab biar kawan-kawan usrah dia sembang hal-hal yang mereka nak sembang. Anak saya kata, memang dia biar pun, sebab dia bosan dan tidak ada faedah sangat.

Dia buat pun sebab patuh arahan ustaz/ah dia saja. Jangan kata anak saya, saya pun boring bab-bab usrah ini. Tidak kreatif dan inovatif langsung. Asyik benda sama saja yang dicakap.

Saya pun hasut anak saya. Tidak usah masuk usrah. Beritahu ustaz/ah, tidak mahu usrah. Buat saja benda lain. Bahan usrah itu boleh baca sendiri, bahkan jika baca sendiri, bahannya lebih bermutu.

Semenjak dulu, tidak kira di sekolah atau di universiti, saya memang tidak setuju anak saya masuk usrah. Ada seorang anak perempuan saya di universiti, saya pesan padanya tiga perkara.

Jangan masuk usrah, tidak payah pakai tudung labuh dan tidak perlu acah-acah warak. Tampilkan diri sendiri yang sebenar. Masuklah kelab kembara, kelab fotografi, asal jangan masuk usrah.

Dia ikut cakap ayahnya. Dia masuk kelab tenis dan tidak pakai tudung labuh. Dia jadi diri dia yang sebenar. Berkawan dengan semua orang. Dia baca apa saja buku yang dia mahu baca. Saya nampak dia gembira dan tidak acah-acah warak.

Saya rasa, di sekolah tidak payahlah ada usrah-usrah ini. Buat benda lainlah yng lebih berfaedah. Ustaz/az kenalah kreatif sikit. Buatlah benda lain yang menyeronokkan. Usrah itu boring yakmat.

Saya pelik, mana mai idea usrah di sekolah? Yalah, hangpa tak payah ceritalah ini Hasan al-Banna apa benda, saya pun tahu sejarah itu. Nak sembang apa, dulu-dulu saya pun naqib usrah.

Apa yang saya nampak, usrah ini adalah proses indoktrinasi yang dibawa oleh sebahagian ustaz/ah yang mungkin terpengaruh dengan idea atau pemikiran kumpulan tertentu.

Usrah diguna untuk melebarkan pengaruh kumpulan tersebut dalam kalangan pelajar. Bahkan, ada usrah yang dibuat di sekolah atau universiti yang dinaqibkan oleh pendukung parti politik tertentu.

Saya tidak kata usrah salah sepenuhnya. Cuma saya sebut, usrah disalahguna oleh pihak-pihak tertentu untuk indoktrin pelajar supaya sokong kumpulan tertentu apabila masuk universiti atau tamat belajar.

Jika usrah di sekolah bertujuan sebegitu, elok hentikan saja. Sudahlah boring, pelajar dipaksa untuk buat benda yang tiada faedah untuk diri mereka sendiri.

Daripada dok melingkung dalam usrah, baik dok melingkung main chest ke, main selambut ke. Dak pun main pelaga sendi jari hantu, lagi best. Daripada acah-acah warak, baik main sambil gelak-gelak.