Untung bersih AmBank meningkat kepada RM378.46 juta pada suku kedua

Untung bersih AmBank meningkat kepada RM378.46 juta pada suku kedua

Keuntungan bersih AMMB Holdings Bhd (AmBank) bagi suku kedua berakhir 30 Sept, 2018 meningkat kepada RM378.46 juta daripada RM357.11 juta yang dicatatkan pada suku yang sama 2017.

Perolehan turut meningkat kepada RM2.31 bilion daripada RM2.12 bilion bagi tempoh yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata syarikat terus berkembang berasaskan prestasi baik yang dicapai pada tahun lepas dengan peningkatan aliran momentum pendapatan, kadar hutang operasi dan keberuntungan.

“Bagi suku ketiga berturut-turut, syarikat merekodkan pendapatan lebih RM1 bilion, tidak termasuk keuntungan daripada penjualan hartanah yang dirampas pada suku pertama, berasaskan pendapatan berkembang 1.5 peratus suku ke suku dalam keadaan sentimen pasaran lebih berhati-hati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ambank berkata pertumbubuhan itu disumbangkan oleh pendapatan fi pengurusan kekayaan, perbankan korporat dan perniagaan, mengimbangi hasil perolehan pasaran kewangan dan perbankan pelaburan yang rendah.

“Prestasi lebih baik bagi perniagaan insurans am syarikat dipacu oleh tuntutan yang rendah dan keuntungan penilaian semula aktuari dialami perniagaan insurans hayat kami telah memberi kesan positif kepada segmen perniagaan ini,” katanya.

— BERNAMA