Untung bersih Boustead pada Q3 merosot kepada RM7.3 juta

Untung bersih Boustead pada Q3 merosot kepada RM7.3 juta

Boustead Holdings Bhd (BHB) mencatat keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM7.3 juta pada suku ketiga (Q3) yang berakhir pada 30 Sept 2018 berbanding RM310.6 juta pada tahun sebelumnya, termasuk keuntungan RM554.9 juta daripada penjualan tanah perladangan.

Tidak termasuk keuntungan tersebut, untung dari operasi untuk tahun di bawah kajian merosot kepada RM108.4 juta daripada RM125.5 juta sebelumnya.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, BHB berkata, pendapatan meningkat kepada RM2.54 bilion daripada RM2.47 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Mengenai prospek, BHB berkata, sifat kepelbagaiannya dalam enam bidang teras ekonomi Malaysia amat baik bagi kumpulan itu.

Bagi bahagian perladangan, pengeluaran tanaman dan harga jualan adalah dua faktor utama yang mempengaruhi keuntungan, katanya dalam satu kenyataan media.

BHB menyatakan bahawa pengeluaran tanaman bahagian itu dipengaruhi oleh kekurangan tenaga kerja dan isu-isu operasi di Sarawak tetapi disokong oleh sumbangan dari ladang-ladang yang baru diperoleh.

Menurutnya, prospek harga untuk Disember dijangka terus mencabar kerana inventori minyak sawit yang tinggi dan pertumbuhan eksport yang perlahan.

Sementara itu, pengebilan kemajuan dari projek perumahan yang sedang berjalan dan yang akan datang akan menyumbang secara positif kepada pendapatan bahagian hartanah dan bahagian hotelnya dijangka mencapai prestasi yang memuaskan pada masa akan datang tetapi akan terus menghadapi cabaran penginapan dan kadar harga.

Loading...

Bagi bahagian industri berat, BHB berkata, projek kapal tempur pesisir dan kapal misi pantai dan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih berkaitan pertahanan akan menyumbang kepada prestasi bahagian tersebut di masa depan sementara pendapatan bahagian kewangan dan pelaburan sebahagian besar akan dipacu syarikat bersekutunya, Affin Bank Bhd.

— BERNAMA