Malaysia Dateline

Untung bersih CIMB meningkat kepada RM5.58 bilion pada 2018

CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dengan meningkat 25 peratus kepada RM5.58 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 (FY18) berbanding RM4.48 bilion pada tahun sebelumnya.

Perolehan menyusut kepada RM17.38 bilion daripada RM17.63 bilion sebelum ini, menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia Khamis.

Pendapatan asas sesaham naik kepada 59.67 sen daripada 49.63 sen sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata keputusan yang ketara bagi  2018 itu disokong oleh prestasi mengukuh daripada perbankan pengguna dan komersial, selain peruntukan dan kos yang lebih rendah.

“Pulangan ke atas ekuiti naik kepada 11.4 peratus manakala nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1) meningkat kepada 12.6 peratus dan kerugian caj pinjaman menokok kepada 0.41 peratus,” katanya.

Jumlah pinjaman kasar kumpulan itu tumbuh sebanyak 7.0 peratus tahun ke tahun, disokong oleh 10.5 peratus pertumbuhan tahun ke tahun di Malaysia.

Sementara itu nisbah pinjaman berbanding deposit kumpulan berada pada 91.2 peratus berbanding 90.8 peratus pada akhir 2017.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) CIMB Islamic bagi FY18 meningkat kepada 27.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.03 bilion, dipacu oleh 21.1 peratus pertumbuhan pendapatan operasi berikutan peningkatan pertumbuhan lembaran imbangan yang kukuh .

Sumbangan PBT bukan Malaysia kepada kumpulan itu adalah 36 peratus pada FY18 berbanding 31 peratus pada FY17. PBT Indonesia susut 1.6 peratus tahun ke tahun kepada RM1.35 bilion.

Bagaimanapun,tidak mengambil kira kesan terjemahan tukaran asing, PBT Indonesia berkembang 11.4 peratus tahun ke tahun sejajar dengan prestasi CIMB Niaga yang meningkat.

Sumbangan PBT Thailand pula sebanyak RM339 juta dengan meningkat 116.8 peratus tahun ke tahun, terutamanya disebabkan peningkatan pengguna dan peruntukan lebih rendah.

Sumbangan PBT Singapura adalah 23.7 peratus lebih tinggi bagi tahun ke tahun kepada RM438 juta, terutamanya daripada penjimatan daripada pemisahan penyelesaian pemprosesan teras CSI.

Kumpulan itu mengumumkan dividen interim bersih kedua 12.00 sesaham yang akan dibayar sama ada secara tunai atau pilihan skim pelaburan semula dividen.

Bagi FY18, jumlah dividen adalah sebanyak 25.00 sen atau RM2.37 bilion, menjadikan nisbah pembayaran dividen sebanyak 50.8 peratus bagi keuntungan perniagaan seperti biasa 2018.

Bagi unjuran masa depan, Zafrul berkata kumpulan itu kekal berhati-hati pada 2019 berikutan halangan luar yang berterusan.

“Perkembangan ekonomi global dan politik akan memberi kesan kepada pasaran kita. Selain itu kita juga memantau secara rapat perkembangan pilihan raya dan politik di Indonesia dan Thailand.

“Walaupun  keadaan  tidak menentu, kami menjangka kadar pertumbuhan ASEAN akan kekal kukuh. Bagi kumpulan ini, CIMB kini dalam fasa pertumbuhan transformasinya dan yakin pelan strategik kami berada di landasan pertumbuhan yang mampan dengan menumpukan bukan sahaja kepada  pelanggan, tetapi juga masyarakat,” katanya.

— BERNAMA