Untung bersih Digi naik kepada RM1.54 bilion pada TK18

Untung bersih Digi naik kepada RM1.54 bilion pada TK18

Keuntungan bersih Digi. Com meningkat kepada  RM1.54 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 (FY18) daripada RM1.48 bilion pada tahun sebelumnya.

Perolehan meningkat kepada RM6.53 bilion daripada RM6.34 bilion, manakala pendapatan asas sesaham berada pada 19.82 sen daripada 18.99, menurut penyedia perkhidmatan mudah alih itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Bagi suku keempat, ia merekodkan sumbangan yang kukuh dalam perniagaan pascabayar dan internet, diperkukuh dengan digitalisasi yang dilaksanakan dengan baik dan strategi berkesan.

Syarikat itu mengakhiri suku tersebut dengan RM1.48 bilion dalam perolehan perkhidmatan dan kini memberikan khidmat kepada 11.7 juta pelanggan bagi rangkaiannya.

“Bagi unjuran 2019, kami menjangka dapat mencapai pertumbuhan perolehan perkhidmatan yang mampan dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan dengan menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pengguna sedia ada, peningkatan pendapatan purata yang tinggi bagi setiap jumlah pengguna, mengekalkan rangkaian pariti dan inisiatif kecemerlangan operasi,” katanya.

— BERNAMA