Malaysia Dateline

Untung bersih MMC naik kepada RM220.08 juta bagi 2018

Keuntungan bersih MMC Corporation Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 meningkat kepada RM220.08 juta daripada RM209.79 juta yang direkodkan pada 2017.

Perolehan juga meningkat kepada 20.4 peratus kepada RM5.01 bilion daripada RM4.16 bilion, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan dalam pendapatan adalah disebabkan kemajuan kerja kumulatif yang lebih tinggi daripada projek Transit Aliran Massa: Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, konsolidasi perolehan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan jumlah volum kendalian yang meningkat di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

“Ia juga diimbangi oleh sumbangan lebih rendah daripada operasi Kemudahan Pemunggahan Bahan, Pembangunan Bersepadu Penapis dan Petrokimia (MOLF RAPID) di Johor Port Bhd dan jumlah kendalian kontena yang lebih rendah di Northport (Malaysia) Bhd,” katanya.

Segmen pelabuhan dan logistik pula mencatatkan perolehan sebanyak RM2.99 bilion, peningkatan 6.1 peratus berbanding RM2.82 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya berikutan volum lebih tinggi yang dikendalikan di PTP dan kesan konsolidasi perolehan PPSB.

Bahagian pelabuhan dan logistik pula dijangka merekodkan pertumbuhan yang positif di semua pelabuhan pada masa depan berikutan selesainya pembelian baki 51 peratus kepentingan dalam PPSB pada Mei 2018 yang akan memaparkan sumbangan tahun penuh terhadap prestasi bahagian kewangan.

Pengambilalihan itu akan membolehkan syarikat tersebut memperkukuh kedudukannya di utara Semenanjung dan melengkapkan kehadiran strategiknya di sepanjang perairan Selat Melaka.

Sinergi operasi dan kos yang didorong MMC juga akan meningkatkan prestasi pelabuhan itu dan bahagian logistik.

— BERNAMA