Malaysia Dateline

etronas akan memastikan bilangan kakitangan seminimum mungkin susulan industri minyak dan gas yang merudum

Untung bersih Petronas Gas melonjak kepada RM499.81 juta pada Q3

Keuntungan bersih dicatatkan Petronas Gas Bhd pada suku ketiga (Q3) berakhir 30 Sept, 2018 melonjak kepada RM499.81 juta daripada RM417.43 juta yang direkodkan bagi suku sama tahun lepas.

Perolehan meningkat kepada RM1.40 bilion daripada RM1.16 bilion yang dicatatkan pada suku sama, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Prestasi perolehan naik sebanyak 20.5 peratus atau RM238.6 juta, kebanyakannya disumbangkan oleh terminal penukaran gas bagi gas cecair asli (LNG) baharu kumpulan itu di Pengerang, Johor, yang memulakan operasi komersial pada November 2017.

Keadaan itu seterusnya disokong oleh perolehan lebih tinggi daripada semua segmen.

Dengan pengesahan Suruhanjaya Tenaga bahawa tarif semasa bagi pengangkutan gas dan perkhidmatan penukaran gas kumpulan itu akan dikekalkan sehingga akhir 2018, Petronas Gas berkata prestasinya dijangka kekal stabil dengan disokong oleh aliran pendapatan yang kukuh dan mampan daripada perjanjian pemprosesan gas sedia ada, perjanjian pengangkutan gas dan perjanjian perkhidmatan penukaran gas yang telah ditandatangani (dengan Petronas).

“Keputusan kumpulan itu akan mendapat manfaat daripada sumbangan sepanjang setahun penuh daripada Terminal Penukaran Gas LNG yang baharu di Pengerang.

“Kami sedang menunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga bagi tarif 2019 untuk  pengangkutan gas dan perkhidmatan penukaran gas yang dijangka diumumkan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Pihak lembaga telah meluluskan dividen interim ketiga sebanyak 18 sen, bagi setiap saham biasa, berjumlah  RM356.2 juta, bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, yang akan dibayar kepada pemegang saham pada 27 Dis, 2018.

— BERNAMA