Malaysia Dateline

Untung bersih Sime Darby Property untuk suku pertama susut kepada RM28.79 juta

Untung bersih Sime Darby Property Bhd susut kepada RM28.79 juta pada suku pertama berakhir 30 Sept 2018 daripada RM421.69 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Perolehan meningkat 1.6 peratus kepada RM480.33 juta daripada RM472.61 juta sebelumnya.

Pengarah Urusan Kumpulan, Amrin Awaluddin, berkata peningkatan yang sedikit itu disebabkan oleh jualan yang meningkat dan kegiatan pembangunan selain peruntukan untuk pengurusan penyelenggaraan dan kemudahan di Hab Pendidikan Pagoh.

“Angka operasi kami kekal cergas disebalik suasana yang mencabar. Pasaran terus sederhana tetapi masih ada permintaan untuk hartanah bertanah. Kami juga akan terus fokus dalam mengurangkan inventori untuk pembangunan yang sudah siap dan dalam pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tidak termasuk sumbangan keputusan usaha sama dan sekutu, Amrin berkata, keputusan pembangunan hartanah meningkat 69.6 peratus, kebanyakan disebabkan oleh jualan yang tinggi dan aktiviti pembangunan di perbandaran Serenia City dan Denai Alam, Cantara Residences dan Melawati Corporate Centre.

“Segmen pelaburan hartanah melaporkan keuntungan RM10.4 juta berbanding kerugian RM4.5 juta pada tahun sebelumnya. Prestasi yang kukuh disebabkan oleh permulaan sewaan hartanah pelaburan dan keuntungan daripada pelupusan hartanah di United Kingdom pada RM2.6 juta,” katanya.

Bagaimanapun kata Amrin, segmen riadah dan hospitaliti mencatatkan kerugian yang tinggi pada RM9.8 juta daripada RM6.6 juta tahun sebelumnya, kebanyakan disebabkan oleh kadar dudukan yang rendah unutk kesemua unit hospitaliti.

Berkenaan prospek, Amrin berkata, Sime Darby Property pada landasannya untuk memenuhi sasaran jualannya dan jualan yang belum dibilkan masing-masing sebanyak RM1.0 bilion dan RM2.2 bilion, pada 2018.

“Kami yakin akan prospek sektor berkenaan memandangkan langkah bajet akan juga memberi manfaat kepada pembeli berpotensi.

“Sebanyak 58 peratus daripada pelancaran kami pada tahun kewangan 2018 diberikan harga yang strategik antara RM200,000 dan RM800,000 seunit, kebanyakan daripada projek Rumah Selangorku di Putra Heights dan hartanah dua tingkat di Elmina West, Bandar Bukit Raja dan Serenia City,” katanya.

— BERNAMA