Untung bersih Takaful Malaysia bagi 2018 meningkat kepada RM294.92 juta

Untung bersih Takaful Malaysia bagi 2018 meningkat kepada RM294.92 juta

Keuntungan bersih Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 (FY18) meningkat kepada RM294.92 juta daripada RM206.70 juta pada 2017.

Perolehan naik 23 peratus kepada RM2.64 bilion berbanding RM2.14 bilion sebelumnya, sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan jualan dalam perniagaan takaful keluarga dan takaful am.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Takaful Malaysia berkata perniagaan takaful keluarga menjana sumbangan kasar sebanyak RM1.61 bilion bagi FY18, meningkat 27 peratus berbanding RM1.26 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh jualan lebih tinggi daripada produk berkaitan kredit.

“Perniagaan takaful am menjana sumbangan kasar sebanyak RM685.8 juta, meningkat 24 peratus daripada RM554.2 juta pada tahun sebelumnya, kebanyakannya daripada insurans kebakaran dan pelbagai kelas kenderaan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata peningkatan keuntungan itu juga disumbangkan oleh keputusan penaja jamin lebih baik dan pendapatan bersih fi wakalah lebih tinggi yang dijana daripada 32 peratus pertumbuhan perniagaan secara keseluruhan bagi kedua-dua perniagaan Takaful keluarga dan am.

“Pulangan ekuiti kumpulan itu melepasi paras 30 peratus dengan pencapaian sebenar adalah 32 peratus berbanding 26.7 peratus bagi FY17.

“Pendapatan sesaham meningkat kepada 35.79 sen berbanding 25.13 sen pada 2017,  dan saiz jumlah aset meningkat 9.0 peratus kepada RM8.93 bilion daripada RM8.19 bilion sebelumnya,” katanya.

Pada 11 Dis, 2018, Takaful Malaysia mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak 15.0 sen sesaham biasa berjumlah RM123.6 juta, yang diterjemahkan ke dalam hasil dividen sebanyak 4.0 peratus berdasarkan harga penutup saham syarikat sebanyak RM3.80 pada 31 Dis.

“Jumlah dividen interim yang diisytiharkan mewakili nisbah pembayaran kira-kira 42 peratus daripada keuntungan bersih dijana bagi tempoh berakhir 31 Dis, 2018,” katanya.

Dalam pada itu, Takaful Malaysia berkata disebalik sentimen perniagaan yang kekal berhati-hati pada  2019, industri takaful dijangka mengatasi insurans konvensional berikutan permintaan kukuh terhadap produk takaful.

Katanya syarikat mahu memperluas perkongsiannya dalam  pasaran pada  2019 dan untuk mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran menerusi pengenalan penyelesaian digital, perluasan keupayaan pengagihan dan perkongsian strategik dengan bank Islam terkemuka.

“Untuk menyokong pertumbuhan perniagaan dan berpaksikan pelanggan, syarikat akan meneruskan strategi digitalnya untuk membina ekosistem digital sepenuhnya dan untuk memperluas fokus perniagaannya yang melangkaui perniagaan berkaitan kredit untuk sampai kepada lebih banyak pelanggan menerusi kerjasama dengan bank-bank utama,” kata Takaful Malaysia.

— BERNAMA