Malaysia Dateline

Untung bersih UOA Development bagi FY18 susut kepada RM378.92 juta

Keuntungan bersih UOA Development Bhd merosot kepada RM378.91 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 (FY18) berbanding RM506.58 juta pada FY17.

Perolehan meningkat kepada RM1.26 bilion daripada RM1.07 bilion sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, UOA Development berkata keuntungan bersih bagi suku keempat FY18 (4Q18) jatuh kepada RM136.44 juta daripada RM197.80 juta pada 4Q17.

Sementara itu, perolehan bagi suku itu naik kepada RM486.35 juta daripada RM198.49 juta sebelum ini.

Menurut syarikat itu perolehan berkenaan disumbangkan oleh kelancaran projek pembangunan yang sedang dijalankan iaitu United Point Residence, Sentul Point Suite Apartments dan South Link Lifestyle Apartments.

Ia turut menyifatkan prestasi itu mendorong kepada jualan unit pejabat dan kediaman yang siap, dan menambah jumlah jualan hartanah baharu bagi 4Q18 dianggarkan sebanyak RM1.48 bilion.

Sementara itu, jumlah jualan yang belum dibilkan setakat 31 Dis, 2018 berjumlah kira-kira RM1.50 bilion.

Dari segi prospek, syarikat itu berkata ia akan terus menumpukan pembangunan di lokasi sasaran dan menilai peluang bagi pembelian tanah.- BERNAMA