Malaysia Dateline

‘Untung jadi isteri menteri cepat naik pangkat’

Tular poster ucapan tahniah kepada isteri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Poster dengan imej Datin Nor Zamani Abdol Hamid itu turut dikongsi laman rasmi Facebook, Institut Pendidikan Guru KPM kira-kira sejam lalu.

Gambar Nor Zamani bertudung ungu dan berbaju bercorak bunga biru dan hijau muda itu juga dilihat sama muncul dalam poster ucapan tahniah pada 9 November tahun lalu atas pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum).

Pelantikan isteri menteri yang dikenali dengan dakwaan minum air suam dapat mencegah Covid-19 itu berlaku ketika ramai rakyat sedang berang dengan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerangi Covid-19 serta hangat isu kibar bendera putih.

Sehubungan itu, rata-rata warganet secara menyindir berkata, untung jika bersuamikan seorang menteri lantaran dilihat mudah lagi cepat menikmati kenaikan pangkat.

“Kurang dari enam bulan, dua kali naik pangkat. Jusa C ke Jusa B dan sekarang Jusa A.

“Sebelum suami jadi menteri, Jusa C saja. Selepas suami jadi menteri, naik Jusa B dan sepantas kilat dalam masa kurang enam bulan, naik Jusa A.

“Wow! Untung jadi isteri menteri,” kata pengguna Twitter, @KMJ_001 pada 10 Januari lalu yang kemudiannya sekarang kembali dikongsi orang ramai.

Walau bagaimanapun, ada warganet berpendapat kenaikan pangkat untuk pegawai kerajaan yang menghampiri usia persaraan memang suatu yang lumrah.

Ada yang menolak dakwaan kenaikan pangkat yang diperoleh Nor Zamani itu kerana wujudnya ‘kabel’ memandangkan isteri Adham itu sudah puluhan tahun berkhidmat dalam sektor kerajaan.