Untung TA Global naik susulan pemulihan dalam perniagaan hartanah

Untung TA Global naik susulan pemulihan dalam perniagaan hartanah

TA Global Bhd berjaya mencatatkan pertumbuhan pendapatan pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2018, berikutan bahagian pembangunan hartanahnya mencatatkan pemulihan yang kukuh dan membantu mengimbangi keuntungan yang lebih rendah daripada segmen operasi lain.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata keuntungan bersihnya meningkat kepada RM66.4 juta pada suku tahun tersebut berbanding RM63.3 juta pada tahun sebelumnya.

Bahagian pembangunan hartanah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM95.3 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM5.7 juta pada suku sama pada tahun sebelumnya, disebabkan keuntungan daripada projek pembangunan Little Bay di New South Wales, Australia yang telah siap.

Siapnya projek kediaman itu turut meningkatkan perolehan keseluruhan TA Global kepada RM609.5 juta berbanding RM192.4 juta sebelum ini.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, keuntungan bersih kumpulan itu naik 115 peratus tahun ke tahun kepada RM304.7 juta manakala perolehan melonjak kepada RM1.74 bilion berbanding RM548.1 juta sebelum ini.

Mengenai masa depan, TA Global berkata ia akan menumpukan kepada penjualan projek pembangunan hartanah tempatan yang telah dilancarkan, iaitu Ativo Suites di Damansara Avenue.

Bagi segmen pelaburan hartanah, kumpulan itu menjangka pendapatan berulang yang kukuh dan sumbangan aliran tunai daripada pelaburan hartanah tempatan dan di luar negara, berikutan kebanyakan hartanah pelaburan tempatan dan di luar negara disewa dengan jangka sewaan yang panjang.

Sementara itu, segmen kredit dan pinjaman akan kekal sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan untuk menyokong bahagian pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah bagi tahun kewangan 2018, menurut TA Global.

Ia turut menyaksikan perniagaan hotelnya semakin berkembang di Singapura, Australia, Kanada, China dan Thailand dan menyediakan aliran pendapatan berulang yang kukuh bagi kumpulan itu.

“Susulan selesainya kerja-kerja menaik taraf dan pengubahsuaian utama di hotel-hotel ini di Singapura, Australia, Kanada dan Thailand, keputusan yang lebih baik dijangka berikutan hotel-hotel ini bersedia untuk mendapatkan semula kerugian dan meningkatkan bahagian pasarannya pada 2018,” katanya.

TA Global akan terus meninjau dan menilai peluang untuk mengambil alih hartanah hotel baharu untuk meningkatkan portfolio sedia adanya dan sumbangan pendapatan daripada perniagaan hospitalitinya.

— BERNAMA