Untung Tune Protect susut kepada RM10.71 juta

Untung Tune Protect susut kepada RM10.71 juta

Tune Protect Group Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah pada RM10.71 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2019 berbanding RM12.81 juta setahun lepas.

Antara punca penurunan itu adalah penyusutan pendapatan premium bersih sebanyak RM10 juta dan peningkatan perbelanjaan pengurusan sebanyak RM5.2 juta, kata penginsurans digital itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia,pada Rabu.

Selain itu, perolehannya turut berkurangan kepada RM124.46 juta daripada RM141.26 juta sebelum ini akibat penyusutan pendapatan premium kasar RM18.9 juta yang diimbangi oleh kenaikan RM2.1 juta dalam pendapatan pelaburan, kebanyakannya daripada dividen dana unit amanah dan bahagian pelaburan Malaysia Motor Insurance Pool (MMIP).

Bagi suku di bawah kajian itu, premium bertulis kasar (GWP) kumpulan itu meningkat 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM125.2 juta susulan GWP lebih tinggi pada RM107.4 juta yang dicatatkan oleh anak syarikat insurans am kumpulan itu di negara ini, Tune Protect Malaysia (TPM).

Bagi tempoh kewangan selama enam bulan, keuntungan bersih Tune Protect susut sedikit kepada RM29.05 juta daripada RM29.38 juta pada separuh pertama 2018 manakala perolehannya berkurangan kepada RM251.13 juta daripada RM284.22 juta.

GWP kumpulan itu susut 20.3 peratus kepada RM207.6 juta bagi tempoh tersebut, kebanyakannya disebabkan oleh langkah penyusunan semula portfolio perniagaan.

Menerusi kenyataan media, ia berkata langkah itu bertujuan mencapai campuran portfolio diingini iaitu 30 peratus motor dan 70 peratus bukan motor yang menjadi sebahagian strategi kumpulan bagi memastikan kemapanan dan keuntungan perniagaan insurans amnya di Malaysia.

“Walaupun TPM mengurus portfolio motor secara berhemat, pada masa sama ia turut memberi tumpuan kepada pertumbuhan segmen bukan motor khususnya dalam runcit, perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.

Dalam pada itu, cabang penginsurans semula kumpulan itu, Tune Protect Re (TPR), menyaksikan jualan menggalakkan di Eropah, Timur Tengah, India dan Afrika (EMEIA) menerusi saluran perniagaan-ke-perniagaan dengan pasaran utama seperti Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi mencatat pertumbuhan ketara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Khoo Ai Lin berkata kumpulan itu turut menjangkakan landskap ekonomi dan insurans rantau ini akan terus mencabar.

“Bagi memacu pertumbuhan masa depan, kumpulan ini akan meningkatkan usahanya bagi melaksanakan transformasi utama dalam perniagaan ASEAN, ekosistem AirAsia, keupayaan teknologi insurans (insurtech) dan perniagaan nasional bagi menyumbang keuntungan penajajaminan dan pendapatan lain yang memanfaatkan insurtech itu,” katanya.

— BERNAMA