Malaysia Dateline

UOBAM sasar RM100 juta aset di bawah pengurusan dengan ‘United-i Global Balanced Fund’

UOB Asset Management (Malaysia) Bhd (UOBAM) menyasarkan aset dalam pengurusannya (AUM) sebanyak RM100 juta dalam tempoh dua bulan menerusi pelancaran ‘United-i Global Balanced Fund.’

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Lim Suet Ling berkata sehingga 31 Jan, 2019, UOBAM mempunyai RM6.86 bilion dan berharap jumlah tersebut mencapai RM7 bilion tahun ini.

Beliau berkata dana terbaharu yang dilancarkan itu merupakan dana global Syariah pertama syarikat itu bertujuan membantu pelabur Malaysia mencapai pendapatan stabil dengan turun naik yang rendah, menerusi  pelaburan dalam kelas aset Syariah berportfolio global yang pelbagai.

“Tumpuan adalah kepada saham yang berkembang dalam jangka masa panjang dengan turun naik rendah dalam pasaran, kebanyakannya di US, saham Eropah serta beberapa saham utama Asia,” katanya kepada pemberita pada pelancaran produk ‘United-i Balanced Fund’ di sini hari ini.

Lim berkata pelaburan minimum awal ialah RM1,000 dan tersedia dalam dolar US, pound British, dolar Singapura dan kelas saham Renminbi.

Dana tersebut umumnya akan mengguna pakai portfolio seimbang antara ekuiti patuh Syariah dan sukuk dalam nisbah 50:50, katanya sambil menambah bahagian sukuk akan memberi kestabilan kepada dana, manakala bahagian ekuiti akan memberikan pulangan tambahan dalam pasaran yang meningkat.

“Sebelum ini pulangan dana seimbang gabungan 50:50 ini adalah antara 6.0 dan 9.0 peratus. Kami menjangka kira-kira 7.0 peratus atau lebih tinggi dalam tempoh jangka sederhana bagi dana ini,” katanya.

Katanya United-i Global Fund juga menjangka turun naik pelaburan adalah lebih rendah berikutan kepelbagaian asetnya dibantu oleh kepelbagaian global dan perlindungan Syariah.

Perlindungan Syariah akan mengekang sektor bukan Syariah seperti syarikat perjudian, senjata dan tembakau, serta syarikat yang terlalu banyak hutang atau mempunyai tunai yang tidak produktif, katanya.

“Ini bagi memastikan hanya syarikat yang mempunyai nisbah hutang rendah dan asas kukuh tersenarai untuk dipilih, menyediakan pelaburan berisiko rendah kepada pelabur dan pulangan yang kompetitif,” katanya.

— BERNAMA