Upah jatuh teruk akibat bersaing dengan warga asing

 

 

Rakyat negara ini mungkin akan sanggup bekerja memetik buah kelapa sawit sebagaimana mereka sanggup memetik ceri di luar negara jika upahnya lumayan dan tidak ada persaingan buruh murah dari luar.

 

Pemilik akaun facebok Nazrin Ibrahim yang menjadi viral di media sosial.

Rakyat negara ini mungkin akan sanggup bekerja memetik buah kelapa sawit sebagaimana mereka sanggup memetik ceri di luar negara jika upahnya lumayan dan tidak ada persaingan buruh murah dari luar.

Ia pandangan pelbagai pihak yang diluahkan melalui media sosial ekoran kemasukan ramai pekerja asing ke negara ini.

Foto memaparkan deretan warga asing dipercayai dari Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang viral di media sosial baru-baru ini mengundang reaksi orang ramai.

Pemerhatian Malaysia Dateline pagi ini mendapati, sebahagian besar pengguna media sosial berpendapat kehadiran mereka berkaitan dengan kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh untuk bekerja di Malaysia seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Jun lalu.

Namun, ada juga pihak tampil mendakwa kehadiran ratusan warga asing berbaju tshirt hijau dan bertopi merah seperti yang tersebar dalam foto itu bagi menampung kekosongan pekerjaan sebagai pemotong buah sawit di ladang-ladang di negara ini.

Timbul polemik berkenaan sektor perladangan yang didakwa tidak menarik rakyat tempatan tetapi pada masa sama dikatakan sesetengah pelajar Malaysia di luar negara seperti di Australia sanggup pula bekerja sebagai pemetik buah ceri.

Pengguna Facebook, Ahmad Saifuddin Amran berkata, pelajar Malaysia di luar negara ada yang mengisi cuti musim panas bekerja tetapi selepas bergraduan lebih sanggup menganggur dari bekerja sebagai pemetik kelapa sawit yang banyak kekosongan.

Walau bagaimanapun, Khairulsabirin berpendapat, “Kalau bayarannya tinggi mungkin pekerjaan mencabut semalu pun menjadi rebutan” manakala bagi Norziati Rosman, “Chop kelapa sawit tu berat sangat. Petik ceri tu pakai tangan saja.”

Bercakap atas dasar pengalaman dilaluinya, Mohd Fadzly pula menyifatkan faktor upah yang rendah menyebabkan sebahagian besar rakyat tempatan menolak untuk bekerja memotong buah sawit di negara ini.

“Harga sawit sekarang murah. Upah satu tan sawit RM60 saja. Tu kalau seorang. Kalau ada dua orang iaitu seorang petik, seorang lagi kumpulkan buah, kena bahagi dua.

“Kena pula kebun sawit banjir, memang ‘masak’. Sekarang ini musim buah sawit melawas kesan jerebu tempoh hari. Nak dapatkan setan pun susah,” ujarnya lagi.

Kadar upah rendah tambahan dengan pelaksanaan gaji minimum yang bukannya dipatuhi oleh semua majikan di negara ini turut diperkatakan kalangan netizen untuk rakyat tempatan berhijrah untuk bekerja di negara lebih maju.

Menurut Raihan Tahir, pemilihan kerja termasuk sama ada memotong buah sawit atau memetik buah ceri berdasarkan hanya dua faktor utama iaitu kadar upah atau gaji dan persekitaran kerja.

“Hal-hal lain seperti prestij biasanya letak bawah melainkan kedua-dua faktor itu sudah dipenuhi,” katanya lagi.

Bagi pengguna Facebook, PakDean Psyche, golongan muda negara ini sanggup menjadi ‘Indo dan Nepal’ di United Kingdom atau Amerika Syarikat memandangkan nilai mata wang di negara terbabit jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.

“Kena tanya juga abang Indo dan Nepal kenapa datang petik buah di Malaysia dan bukan negara mereka sendiri. Dalam ekonomi serba mencabar ini, semua orang akan cari pekerjaan yang sesuai dengan keadaan ekonomi.

“Sudah tentulah abang Indo dan Nepal akan memilih bekerja di Malaysia kerana nilai mata wang yang lebih berbaloi dengan tenaga yang mereka kerahkan. Mungkin hal yang sama juga dirasakan oleh anak-anak kita untuk tidak memilih bekerja di negara sendiri,” jelasnya lagi.

 

TAGS