UPKO sah diterima jadi parti komponen PH

Oleh ARIF ATAN

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini telah membuat keputusan untuk menerima Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai salah satu parti komponen blok pembangkang itu.

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyertaan UPKO akan terus memperkukuh kerjasama terutama dalam persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Pada waktu ini, sukacita saya umumkan bahawa Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah membuat permohonan rasmi untuk menyertai Pakatan Harapan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pintu PH sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain.

“Malah kami juga mengalu-alukan sekiranya parti-parti ini membuat permohonan untuk menyertai Pakatan Harapan,” katanya.

Untuk rekod, UPKO mempunyai satu-satunya Ahli Parlimen, Datuk Seri Madius Tangau mewakili Tuaran (gambar atas) yang juga Presiden parti pembangkang tempatan Sabah itu.

Empat parti pembangkang masih di luar blok PH iaitu Parti Warisan (Warisan), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, PH mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada 105 Ahli Parlimen dari parti-parti pembangkang yang telah mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri minggu lalu.

“Dalam semangat ‘Khemah Besar’ yang dinyatakan di dalam Ketetapan Port Dickson, PH akan meneruskan serta memperkukuh kerjasama dengan Warisan, Pejuang, UPKO, PSB, Muda dan Bebas demi memastikan blok Pembangkang bertambah berkesan dan bersiap sedia menghadapi PRU-15.

“Seperti yang telah diumum sebelum ini, satu pertemuan ketua-ketua parti pembangkang akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan isu-isu politik semasa termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula pada 6 September nanti,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Warisan diterajui Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempunyai lapan kerusi Dewan Rakyat manakala Pejuang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad memiliki empat kerusi.

Sementara itu, PSB mempunyai dua kerusi Parlimen manakala masing-masing satu kerusi milik Muda dan UPKO.

Kelmarin, PH digesa untuk segera membuat jemputan rasmi kepada lima parti pembangkang terbabit sesuai dengan usaha menjayakan kerangka ‘Khemah Besar’.