UPNM nafi dera jadi budaya, kebiasaan universiti

UPNM nafi dera jadi budaya, kebiasaan universiti

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menafikan bahawa deraan merupakan satu budaya dan menjadi satu kebiasaan di universiti berkenaan.

Dalam pada itu, UPNM tidak menafikan bahawa pernah berlaku kes-kes deraan di masa yang lepas.

Bagaimanapun, UPNM mengambil serius terhadap apa-apa kes deraan sama ada yang melibatkan pegawai kadet mahupun pelajar awam.

Menurut kenyataannya hari ini, UPNM telah mengamalkan konsep ‘zero tolerance for ragging’ dan mereka yang teribat telahpun diambil tindakan tatatertib termasuk pembatan tauliah serta disabitkan di mahkamah mengikut perundangan negara.

“Berdasarkan penyiasatan dalaman yang dijalankan video yang ditularkan merupakan satu kes yang berlaku pada tahun 2016 dan memberi gambaran yang tidak tepat mengenai keadaan ketika ini.

“Ia juga membawa kesan negatif terhadap imej universiti, motif pihak yang tular tidak diketahui,” katanya.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan video insiden deraan yang terjadi di universiti itu tular di media sosial.

UPNM berharap agar satu siasatan dapat dijalankan untuk menentukan pihak yang terlibat serta motifnya.

“Diharapkan kenyataan ini dapat memberi penjelasan dan gambaran sebenar terhadap video yang ditularkan serta pendirian UPNM mengenai isu penderaan di universiti,” katanya lagi.

UPNM akan terus memberi fokus kepada kecemerlangan akademik dan penyelidikan disamping melahirkan graduan yang berkualiti dan berkebolehan dengan ciri-ciri kepimpinan yang mendorong kepada keboleh pasaran graduan yang tinggi.

UPNM menjadi perhatian apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan 18 pelajarnya yang terlibat dalam dakwaan membunuh pegawai kadet laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, untuk membela diri.

Enam daripadanya didakwa membunuh dan bersubahat, manakala 12 lagi atas pertuduhan menyebabkan kecederaan.

Zulfarhan antara lain dilaporkan ditekap dengan seterika panas di dormitori UPNM pada 22 Mei 2017, selepas dituduh mencuri komputer riba.

Allahyarham meninggal dunia pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang. Dia dilaporkan mengalami lebam dan lecur di dada, tangan dan kaki.