
UPSI rangkul tiga anugerah Bank Islam
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkul tiga anugerah Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) atas kepakaran dan keupayaan menguruskan sistem kewangan universiti itu menerusi ‘Sistem Pengurusan Bersepadu UPSI-Sistem Maklumat Kewangan (MyFIS), baru-baru ini.
Menurut kenyataan UPSI hari ini, tiga anugerah yang diterima ialah Anugerah Penyelesaian Tunai Pelanggan bersama Bank Islam Teratas, Pertumbuhan Tertinggi 2019 (Penerimaan dan Penyelesaian) dan Pertumbuhan Tertinggi (Penyelesaian Akaun Berbayar).
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Deposit dan Pengurusan Tunai Bank Islam Mohd Noor Jab kepada Bendahari UPSI Mohamad Najib Mohamed, pada Majlis Apresiasi Pelanggan Deposit Dan Pengurusan Tunai (DCM) Bank Islam di Pulau Pinang.
“Bagi memastikan sistem kewangan efisien dan efektif, Jabatan Bendahari mengambil inisiatif melaksanakan Kampus Tanpa Tunai sepenuhnya, mengoptimumkan penggunaan perbankan internet, gerbang pembayaran, e-dompet dan mewujudkan penyelesaian dalam talian bagi semua transaksi kewangan universiti,” katanya.
Mohamad Najib berkata kemenangan tersebut menjadi pembakar semangat kepada jabatannya untuk bekerjasama lebih erat dengan Bank lslam bagi memanfaatkan sepenuhnya Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dalam memantapkan pengurusan kewangan UPSI.- BERNAMA