Malaysia Dateline

UPSR dan PT3 dipertimbang selepas 2025, KPM beri jaminan takwim bermula Januari akan dikembali

Keputusan untuk mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan dibuat selepas pembentangan laporan Pelan Pembangunan Pendidikan, yang akan tamat pada 2025.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata laporan tersebut akan menjadi panduan sama ada dua peperiksaan itu akan dikembalikan semula atau sebaliknya.

Menurutnya, buat masa ini Kementerian Pendidikan (KPM) berpendirian untuk memperkukuhkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang sedia ada melalui pengenalan ujian akhir akademik dan bukan seperti UPSR atau PT3.

“Kita tidak mahu terlalu fokus kepada peperiksaan. Jadi, dalam hal ini, kena bagi sedikit ruang dan masa.

“Kita akan lihat hasil pembentangan Pelan Pembangunan Pendidikan. Cadangan untuk kembalikan semula peperiksaan itu bergantung kepada laporan pelan berkenaan,” katanya dipetik BH.

Dalam masa sama, KPM memberi jaminan akan mengembalikan semula takwim persekolahan yang bermula pada Januari seperti sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, ibu bapa tidak perlu risau kerana kementerian yang diterajuinya sedang berusaha ke arah itu.

Bagaimanapun, katanya, perkara berkenaan masih belum boleh dilaksanakan tahun hadapan memandangkan perlu menyelesaikan pelbagai justifikasi mengikut Akta Pendidikan 1996.

Sebelum ini, sesi persekolahan berubah susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan takwim persekolahan bagi 2022/2023 bermula pada Mac 2022.

Takwim bagi sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula pada 10 dan 11 Mac tahun hadapan mengikut negeri.

Baca juga Ramai suka lihat PM santuni rakyat setiap Jumaat, ada berdoa moga Anwar beri khutbah di Masjid Negara