Urus kemasukan pembangkang dengan baik, pelihara integriti PH

Urus kemasukan pembangkang dengan baik, pelihara integriti PH

Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim (gambar atas) berkata, Pemuda AMANAH Negeri Perak mengambil perhatian serius dengan suasana semasa perkembangan politik di negara ini khususnya di negeri Perak.

Kata beliau, secara prinsipnya, kemasukan wakil rakyat BN ke dalam PH bukanlah satu perkara yang mengejutkan kerana BN tidak lagi menjadi parti yang dipercayai oleh rakyat.

Namun begitu katanya, kemasukan pasca menang adalah sangat tidak harmoni dan memberikan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat.

Suasana ini tidak memberikan impak positif persepsi rakyat kepada kerajaan baharu PH, ujarnya.

“Namun begitu, kami sangat menghormati keputusan tersebut yang berkemungkinan atas dasar kesedaran yang jujur oleh mereka.

“Kami juga yakin, PH mengambil serius soal integriti dan semangat demokrasi yang diperjuangkan oleh parti gabungan ini secara nekad,” kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Pemuda AMANAH Negeri Perak jelas beliau, mengharapkan fenomena kemasukan ahli-ahli dan wakil rakyat pembangkang ke dalam PH yang kini menjadi kerajaan perlu perlu diurus dengan baik dan berhemat agar integriti ini dapat dipertahankan.

“Atas dasar integriti, kami secara tegas mengharapkan agar jawatan-jawatan kerajaan terutama Exco-Exco Kerajaan Negeri perlu diutamakan kepada Adun-Adun PH yang memenangi kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kami yakin wakil rakyat yang baru menganggotai keluarga besar PH ‘sedar diri’ dan sangat menghormati wakil rakyat lain yang telah diberi mandat oleh rakyat.

“Kami yakin, Majlis Pimpinan PH mampu mengurus suasana ini dengan baik dengan meletakkan integriti dan amanah sebagai eleman penting.” tambah beliau.

Kata Khairol, Pemuda AMANAH Negeri Perak yakin, barisan Exco Kerajaan Negeri yang bakal dibentuk ini adalah barisan yang terbaik untuk menggalas harapan rakyat Perak.

CATEGORIES