Malaysia Dateline

Urus kemasukan wakil rakyat BN dengan hikmah, jangan hancur setiakawan

 

Ketua Penerangan Wanita PH bimbang ia hancurkan semangat setiakawan.

Penerimaan peralihan sokongan wakil-wakil rakyat BN kepada Pakatan Harapan (PH) yang kini sudah mendapat mandat menjadi parti pemerintah perlu diurus secara berhemah.

Ketua Penerangan Wanita PH, Aiman Athirah Al Jundi berkata, hal tersebut penting agar peralihan sokongan itu benar-benar bererti dan memberi nilai tambah yang bukan sedikit kepada keutuhan dan kelangsungan pentadbiran PH.

Menurutnya, faktor-faktor peralihan sokongan wakil rakyat BN perlu dikenal pasti terlebih dahulu dengan mengambil kira prinsip dan nilai setiakawan.

“Jika ia hanya kerana ingin bersama dengan pemenang dan perasaan cemas menjadi pembangkang, saya percaya ini perlu ditolak.

“Kita tidak mungkin mampu merencana pelan mengisi kemenangan secara berkesan jika ada dalam kalangan kita yang hanya sanggup bersama ketika senang, sementara menentang kita di kala susah.

“Sebaiknya mereka ini diberikan masa untuk betul-betul belajar menjadi seorang pejuang yang upaya menjiwai prinsip,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan dianggotai empat parti tersebut iaitu PKR, AMANAH, Bersatu dan DAP itu hakikatnya sedang berlari mengejar masa dengan tempoh pentadbiran lima tahun sekarang dilihat sebagai terlalu singkat.

“Dalam fasa dan usia awal kemenangan dan peralihan ini, adalah sangat wajar untuk kita (PH) menumpukan kepada kualiti bukan semata-mata kuantiti.

“Bukan hanya soal suka-suka tetapi merupakan antara kebijakan yang diperlukan untuk menjayakan proses pembinaan semula negara Malaysia,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya, penyertaan mereka terbabit juga perlu dinilai daripada segi sejauhmana PH benar-benar memerlukan mereka atas kapasiti anggota pembuat dasar.

“Ini khususnya bagi tujuan-tujuan yang lebih strategik dalam usaha mewujudkan pentadbiran yang lebih berkesan untuk kebaikan negara dan rakyat teramai.

“Seperti contoh, bagi menjayakan beberapa reformasi sistem dan institusi yang memerlukan kuasa majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat,” ujar Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH itu.

Walaupun mengakui peralihan sokongan pihak lawan kepada PH secara umumnya satu perkembangan yang baik, Athirah berkata penyertaan mereka secara individu perlu dirai tanpa menjanjikan sebarang habuan seperti jawatan tertentu khasnya dalam kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berpendapat wakil rakyat BN mempunyai dua pilihan sama ada membuktikan diri mereka sebagai seorang pemimpin yang terus memberi perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing atau meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada pemilihan baru iaitu pilihan raya kecil.

“Rakyat perlu diberikan ruang dan hak untuk menilai serta memilih wakil rakyat yang benar-benar wibawa.

“Tiada sebab untuk wakil-wakil rakyat BN untuk terus memaksa diri berkhidmat sekiranya merasakan diri sudah hilang keupayaan dan keyakinan. Beranilah untuk menyahut cabaran,” tegas Ahli Jawatankuasa Biro Pilihan Raya PH itu lagi.