Malaysia Dateline

Urusan di sempadan Limbang semakin lancar

Keadaan di Pusat Sempadan Limbang yang semakin lancar berikutan orang ramai mula faham dengan prosedur urusan.

Urusan keluar masuk di Pusat Pemeriksaan Imigresen Bahagian Limbang, Sarawak semakin lancar berbanding pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Menurut Ketua Imigresen Limbang Kalthom Ahmad, keadaan itu mula berubah apabila PKP memasuki Fasa Ketiga dengan orang awam mula faham dan tahu prosedur yang dilaksanakan sepanjang pelaksanaan PKP.

“Pada peringkat PKP Fasa Ketiga ini semuanya berjalan dengan lancar dan teratur.

“Malah, ada orang awam yang akan melalui pintu masuk telah bersedia awal dengan segala dokumen yang diperlukan dan mengikut syarat ditetapkan serta permohonan mereka diluluskan tanpa mengambil masa lama”ujar beliau.

Kalthom menjelaskan, Jabatan Imigresen Malaysia sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat bagi memudahkan urusan berdasarkan arahan dari semasa ke semasa.

“Kita akan sentiasa memberi kemudahan selaras dengan yang telah diluluskan dari semasa ke semasa.

“Ini kerana, sebarang arahan SCMC akan berubah mengikut situasi semasa keadaan PKP.

“Kita berharap ianya akan bertambah lancar dan orang awam memahami kenapa kita perlu buat sekatan-sekatan tertentu untuk mengelakkan virus ini merebak dan memutuskan rantaian virus Covid-19,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Limbang memohon kerjasama baik orang awam untuk memahami dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan sepanjang keluar dan masuk di pintu sempadan bagi memudahkan pergerakan masing-masing.