Malaysia Dateline

US, UK Kerajaan tukar ganti, Malaysia tiada reformasi

Negara maju termasuklah Amerika Syarikat dan United Kingdom kerajaannya sering bertukar dan bersilih ganti.

Parti Republikan dan Demokrat di Amerika Syarikat bergilir-gilir menang dan kalah. Begitu juga di United Kingdom apabila Konservatif dan parti Buruh bertukar-tukar pemerintahan negara.

Namun begitu, ia agak jauh bezanya dengan Malaysia dimana sejak merdeka lagi, Umno-BN kekal memerintah.

Malah kata Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, mengekalkan kuasa pada mana-mana parti terlalu lama adalah tidak baik kepada negara.

“Apakala lama berkuasa, akhirnya akan terpalit dengan elemen rasuah walaupun parti tersebut berasaskan agama dan yang terbaik ialah sesebuah parti dikekalkan bagi tempoh antara dua hingga tiga penggal sahaja.

” Selepas itu ia harus ditukar kepada parti lawan bagi mengelakkan budaya rasuah berakar umbi kerana, sekiranya reformasi ini tidak dilaksanakan negara sudah pasti tidak akan berubah.

” Seandainya praktik lama ini dibiarkan berterusan, mereka yang berkuasa meratah hasil negeri dan negara, sedangkan rakyat hanya diberikan hasil ‘di celah-celah gigi’ serta terus melaungkan kononnya mereka berjiwa rakyat,” ujar beliau ketika dihubungi.

Tegasnya, sejarah telah membuktikan Umno-BN buat pertama kalinya telah tumbang, sebaliknya merampas semula kuasa dengan dokongan pembelot-pembelot Pakatan Harapan yang telah memenangi pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Sehubungan itu khususnya dalam situasi musibah banjir terkini di Pahang, apakah rakyat Pahang masih lagi mahu mengekalkan kerajaan sedemikian menjelang pilihan raya umum yang akan datang.