Usah berdalih, jelaskan pendirian Malaysia tentang isu Timur Tengah

Beberapa soalan saya semasa perbahasan Kementerian Pertahanan kelmarin masih tidak dijawab oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Datuk Seri Johari Bahrom dengan baik. Komen yang di buat oleh beliau amat mengecewakan dan tidak bertanggungjawab serta tidak menepati status sebagai seorang Timbalan Menteri.

Isu peranan serta perbelanjaan Malaysia dalam menyertai sekutu tentera Arab Saudi menyerang Yaman tidak di jawap tetapi hanya menyatakan Malaysia tidak terlibat dan berada di sana kerana misi Lubnan. Sebelum pada ini alasan-alasan lain diberi adalah seperti untuk misi evakuasi rakyat Malaysia dari Yaman, sebagai solidariti dengan Arab Saudi dan tentera tidak terlibat sebagai ‘combat force’. Jawapan ini semua susah untuk diterima akal.

Pada 31 Januari 2017 laporan oleh panel pakar kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyebut Malaysia terlibat di dalam sekutu Arab Saudi di “Operational Control Headquarters” yang beribu pejabat di Riyadh (bersama Amerika Syarikat, Britain dan Perancis) dalam usha menyerang Yaman serta berlakunya perang jenayah.

Semalam pula bekas Jeneral bersara Arshad Raji menyoal jika penglibatan Malaysia di Yaman telah diluluskan badan tertinggi Angkatan Tentera dan juga Kabinet Malaysia. Beliau juga menyebut pembunuhan beramai ramai rakyat awam dan berlakunya perang jenayah. Mengikut beliau Media Arab Saudi pernah mengumumkan gabungan ketenteraan Malaysia dengan Arab Saudi di Timur Tengah.

Jelas jawapan Timbalan Menteri menafikan fakta yang diketahui umum di Malaysia dan juga dunia di peringkat antarabangsa.

pusat perangi keganasan

Persoalan saya tentang sesuaikah Pusat Anti-Keganasan Raja Salman apabila kerajaan memberi tanah berpuluh ekar di Putrajaya juga ditolak dan diremehkan sebagai tidak penting.

Isu pandangan seorang pegawai Jakim yang merupakan ‘pakar’ usaha pemulihan pengganas di bawah tahanan, yang menganggap pembinaan King Salman Centre satu keputusan tidak bijak, Menteri juga menyatakan;

“Yang Berhormat Kuala Terengganu hendak percaya pegawai itu atau saya sebagai seorang Timbalan Menteri?”

Sebenarnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri baru-baru ini telah memuji pegawai Jakim berkenaan, Ustaz Zamihan Mat Zain sebagai satu aset utama untuk memerangi pengganas! Saya percaya Ustaz Zamihan mungkin mengetahui sesuatu maklumat tentang peranan Arab Saudi dengan aktiviti pengganas antarabangsa untuk membuat kenyataan tersebut. Kenapa Timbalan Menteri ingin menutup isu ini?

Tentang Isu persoalan kenapa tentera kita terlibat di Timur Tengah dan tidak memberi tumpuan kepada isu pencerobohan perairan kita sendiri di rantau Asean yang mempunyai masalah, menteri menyatakan ia bukan tanggung jawab kementerian pertahanan. Walhal Kawasan Escom memerlukan bantuan untuk menutup jalan penyeludupan dan pencerobohan oleh lanun dan pengganas.

Kita sering mendengar peruntukan kewangan minyak yang tidak mencukupi untuk rondaan bot penguatkuasa di perairan kita tetapi tentera kita boleh pula bergiat jauh di Timur Tengah. Kita berbudi kepada Arab Saudi yang sudah kaya tetapi mengabaikan keselamatan negara sendiri yang menghadapi pencerobohan dari China dan Vietnam. Soalan saya tentang perbelanjaan tentera kita di Arab Saudi juga tidak di jawap.

Penglibatan rapat Malaysia dengan Arab Saudi menimbulkan situasi yang makin rumit yang membahayakan keselamatan rakyat Malaysia. Campur tangan Arab Saudi dalam isu negara Yaman, Syria dan Qatar mengundang kemarahan rakyat dan pejuang mereka kepada Arab Saudi dan ianya akan berjangkit kepada Malaysia.

hubungan sulit Arab Saudi-Israel

Kenapakah kita perlu bersolidariti dengan Arab Saudi sedangkan merekalah yang “menceroboh” Yaman, Syria dan mencabar Qatar?

Arab Saudi juga mengambil sikap berkonfrontasi dengan Iran yang mereka dakwa “juara” fahaman Syiah. Baru-baru ini Menteri Israel Yuval Steinitz mendedahkan Israel mempunyai jalinan rahsia dengan Arab Saudi terutama tentang “ancaman Iran” di Timur Tengah. Umum juga sedia maklum sebenarnya mereka mempunyai hubungan sulit yang lebih luas.

Persoalannya sekarang apakah pendirian Malaysia dalam kerjasama akrab Arab Saudi dan Israel dalam percaturan poltik negara Islam Timur Tengah hari ini? Dimanakah solidariti Malaysia dalam isu ini pula? Masih dengan Arab Saudi?

Kerjasama Arab Saudi dan Israel bersama Mesir di bawah tajaan Amerika bukan perkara menghairankan bagi pemerhati politik Timur Tengah. Berita terkini melaporkan Mesir akan menyediakan sebahagian dari Sinai untuk pemindahan rakyat Palestin yang akan di biayai oleh Arab Saudi dan sekutunya dengan persetujuan Israel. Penentangan pihak Hezbullah dan rakan rakannya adalah halangan besar rancangan ini. Apa akan terjadi kepada bumi tanah Palestin hari ini?

Sementara presiden parti Melayu tertua Datuk Seri Najib Razak begitu akrab dengan Arab Saudi serta sekutunya, presiden parti Islam tertua pula menyokong Iran dan sahabatnya dalam senario pertembungan Timur Tengah ini. Bagaimanakah dua sahabat baru yang “berkerjasama” dari parti Melayu dan Islam ini akan menangani perbezaan ini?

Bagaimanakah penyokong Pas akan memandang dan menerima kerjasama parti mereka dengan Umno yang rapat dengan sekutu Arab Saudi, Mesir dan Israel yang berusaha menghancurkan Palestin?

Sudah sampai masanya Malaysia berterus terang dan membuat pendirian jelas kepada rakyat dan dunia antarabangsa tentang polisi kita di Timur Tengah dan khususnya dengan Arab Saudi. Dengan Arab Saudi sudah begitu rapat dengan Amerika dan kini semakin rapat dengan Israel, Malaysia mesti membuat pendirian.

Setelah darah rakyat Yaman ditumpahkan, dan seperti dikatakan oleh bekas setiausha negara Amerika Henry Kissinger, “Gendang peperangan sedang dipalu di Timur Tengah”, Malaysia mesti mengisytiharkan adakah kita masih bersama dengan sekutu Arab Saudi termasuk Amerika dengan sokongan Israel?

Baru-baru ini presiden Pas apabila merujuk kepada hubungan pemerintah Arab Saudi dengan Amerika serta Israel berkata, “Saya tidak beriman kepada batu Kaabah tetapi beriman kepada Allah”.

Apakah pendirian Datuk Seri Najib pula? Adakah bersetuju dengan ungkapan tersebut atau masih berpegang kepada kata-kata “cash is king” (wang itu raja)!

Malaysia mesti mendengar suara rakyat sendiri dalam isu pergolakan Timur Tengah dan bukan akur dan tunduk kepada wang serta kuasa sekutu Arab Saudi, Amerika Syarikat dan sekarang, termasuk Israel!
___________________

Raja Bahrin Shah ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH.

5.0
OVERALL SCORE
: 5.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS