‘Usah biar budaya ekstrem Pas Terengganu cemar keharmonian’

‘Usah biar budaya ekstrem Pas Terengganu cemar keharmonian’

 

Ir Ali Omar

Kejadian rempuhan pemuda Pas ke perkarangan pejabat AMANAH di Salor malam tadi menjadi satu lagi bukti Pas Kelantan kini berkiblat kepada budaya politik Terengganu yang ekstrem dan ganas.

Timbalan ketua AMANAH Pasir Mas Ir Ali Omar berkata budaya politik menghormati keharmonian, bertolak ansur dan menjaga adab yang menjadi pegangan almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kini jelas telah ditinggalkan Pas Kelantan.

“Sebenarnya saya amat faham sejak almarhum Tok Guru (Nik Aziz) masih ada betapa berbezanya amalan politik beliau dengan apa yang ada di Terengganu.

“Di Kelantan, kalau ada kaum keluarga berbeza fahaman politik, kita tetap jaga silaturrahim dan boleh bercampur gaul dengan mesra tetapi di Terengganu orang-orang Pas memulau anggota parti lain walaupun dari kalangan keluarga sendiri.

“Di kedai-kedai kopi di Kelantan, orang ramai tidak kisah untuk duduk bersama dan bersembang walaupun berlainan parti tetapi di Terengganu orang Pas akan menjauhkan diri dari bersama orang-orang parti lain,” katanya.

Menurutnya budaya ini telah menyebabkan Pas Terengganu sukar untuk mendapat simpati orang ramai apabila berkempen pada musim pilihan raya.

“Ini tentu berbeza dengan bawaan arwah Tok Guru Nik Aziz yang melarang ahli-ahli Pas berpatah arang dengan orang ramai walaupun mereka tidak menyertai Pas.

“Apa lagi menggunakan perkataan-perkataan kesat dan tuduhan-tuduhan menghina kepada orang di luar Pas.

“Saya sentiasa ingat pesan Tok Guru, kerja kita menerang bukan menyerang,” katanya.

Ir Ali yang pernah aktif dalam Pas Terengganu semasa beliau bertugas sebagai jurutera JKR Terengganu selama 13 tahun berkata budaya politik bawaan presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan mudah boleh bertukar ganas.

“Amanat Hadi adalah simbol politik tanpa tolak ansur yang memang menjadi pegangan pentaksub-pentaksub Hadi di Terengganu dan di luar Terengganu.

“Sepanjang saya di Terengganu beberapa insiden panas pernah saya alami sendiri apabila pengikut budaya ini bersikap begitu keras dengan pihak polis dan agensi-agensi keselamatan lain,” katanya.

Mengulas kejadian malam tadi beliau tidak terkejut apabila dimaklumkan anak presiden Pas, Khalil Abdul Hadi mengetuai sendiri gerombolan itu.

“Memang jelas sekarang ketiadaan arwah Tok Guru telah menyebabkan teraju Pas beralih kepada puak yang anti masyarakat dan suka menghina orang lain.

“Dengan merasa diri suci dan mulia, mereka melihat orang lain kotor dan keji dan boleh diperlakukan apa saja di luar akhlak dan undang-undang,” katanya.

Justeru beliau menyeru ahli-ahli AMANAH dan parti-parti rakan dalam Pakatan Harapan mengambil kefahaman berkaitan budaya politik seperti ini.

“Kita mesti meneruskan budaya politik amalan arwah Tok Guru Nik Aziz dan mengembeleng tenaga untuk menolak budaya politik bawaan Hadi yang berbahaya kepada masa depan negara.

“Sekarang saya semakin faham apa yang disebutkan oleh Datuk Husam Musa bahawa AMANAH adalah Pas Tok Guru Nik Aziz manakala Pas sekarang adalah Pas Haji Hadi,” katanya.

7.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 4.0
CATEGORIES
TAGS