Usah biar isteri, anak Edi Rejang terima kesan buruk

Usah biar isteri, anak Edi Rejang terima kesan buruk

Senator Aiman Athirah Al Jundi menyeru rakyat Malaysia agar tidak mengheret ahli keluarga Edi Rejang yang sebelum ini gempar apabila bertindak memarahi seorang promoter wanita Cina di sebuah pasar raya yang sedang mempromosikan minuman keras.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu berkata, tindakan Edi yang kemudiannya membuat permohonan maaf secara terbuka di laman sosial apabila dikecam warganet itu wajar diterima.

“Harapan saya, rakyat Malaysia yang lebih waras bantulah Edi Rejang untuk betul-betul sedar kesilapannya dan berubah menjadi lebih baik. Tidak perlu membiarkan dia terus karam akibat kesilapan itu.

“Apalagi membiarkan anak dan isterinya terus menerima impak buruk. Setiap orang berhak untuk peluang kedua. Rakan kita Edi juga begitu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Edi dalam rakaman video yang tular sebelum ini turut memarahi wanita muda Cina itu kerana menggunakan bahasa Inggeris bukannya bahasa Melayu ketika menjawab soalannya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan sikap Edi yang turut menunjukkan isyarat lucah kepada promoter wanita itu mewakili ramai lagi mangsa pembodohan yang berterusan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik parti-parti perkauman.

“Apa yang berlaku ke atas Edi Rejang ini semoga dapat dijadikan pengajaran.

“Rakyat Malaysia wajar menolak secara total pemimpin-pemimpin dan parti-parti politik yang berterusan menyebar serta menyemarakkan sikap perkauman dalam apa jua bentuk.

“Malaysia tidak perlukan mereka,” tegas Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) berkenaan.

Sehubungan itu, Athirah mengingatkan tentang tanggungjawab kolektif semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum dan agama untuk memberi contoh terbaik kepada generasi muda.

“Kita boleh saja berbincang dan mengemukakan hujah utk mendapatkan keputusan terbaik bagi setiap perkara tanpa perlu memainkan sentimen perkauman dan kebencian di antara kelompok majmuk masyarakat Malaysia,” tambahnya lagi.