Malaysia Dateline

Usah biar Pas selesa lelong agama, terus usaha ambil kembali kerajaan

Usaha mengambil kembali kerajaan dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu kedua-duanya berjalan serentak, kata Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Menurutnya, mengambil semula kuasa daripada kerajaan tebuk atap seperti digelar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya melibatkan Ahli Parlimen manakala rakyat cuma menantikan hasil.

“Pakailah apa pun opsyen, asalkan ambil balik mandat. Jangan biarkan kerajaan tebuk atap bernafas.

“Jangan biar Pas selesa lelong agama sekupang dua. Opsyen ambil balik kerajaan jangan dimatikan. Usaha terus. Berjaya atau gagal soal kedua,” tegasnya dipetik dari hantaran beliau di Facebook.

Ustaz Zolkharnain Abidin

Untuk rekod, istilah kerajaan tebuk atap disebutkan sendiri oleh Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam perutusan khas pada 10 Mac lalu.

“Apabila berlakunya kerja memecahkan diri sendiri oleh Pakatan Harapan, bukan kami yang buat (iaitu) terdapat usaha menggulingkan Perdana Menteri, menekan dengan cara yang dilihat oleh umum (seperti) desakan dan sebagainya.

“Ini adalah untuk mengambil alih pemerintahan melalui atap, bukan oleh pintu belakang. Tebuk atap,” kata Abdul Hadi.

Tabur duit

Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain berpendapat Pakatan Harapan (PH) berdepan banyak cabaran jika hanya memilih untuk kembali mendapat mandat melalui PRU-15.

Beliau berkata, PRU-15 yang melibatkan jutaan orang adalah lebih rencam dengan paling awal dilaksanakan pun awal tahun depan iaitu selepas pembentangan Belanjawan 2021.

“Kerajaan tebuk atap akan tabur duit untuk menang pilihan raya. Orang ramai boleh silau dengan duit era lepas Covid-19,” ujarnya.

Dalam masa sama, kata bekas Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu, PH mesti mempunyai isu yang kuat apabila masuk ke gelanggang sebagai pembangkang pada PRU-15.

“PRU-14 isu 1MDB dan aura Tun (Dr Mahathir Mohamad). PRU-15 belum tahu nak pakai isu apa dan aura siapa,” katanya.

Sehubungan itu, Ustaz Zolkharnain mengingatkan usaha mengambil semula mandat rakyat pada PRU-14 lalu mesti terus berjalan.

“Tak boleh dok syok keribas kain pelikat nak jadi pembangkang berwibawa. Hujah hebat tara mana pun, tak ke mana sekadar jadi pembangkang,” bidasnya lagi.