Malaysia Dateline

Usah biar rakyat sendiri terpaksa cari kerja di negara jiran

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa supaya Parlimen dipanggil bersidang dengan segera dan melakukan semakan terhadap peruntukan kewangan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan perlu membentangkan perancangan jangka panjang di Parlimen supaya dapat mencapai pemuafakatan demi memulihkan ekonomi negara.

Beliau menegaskan kerajaan mesti mengelakkan perbelajaan wang negara kepada perkara yang tidak relevan dan tidak produktif sebaliknya hanya ditumpukan kepada usaha menangani penularan Covid-19.

“Sekiranya pembentangan belanjawan semula diperlukan maka ia harus dilakukan,” katanya.

Azmi Abdul Hamid

Menurutnya, darurat perlu ditarik balik bagi memungkinkan Parlimen kembali berfungsi agar dapat membincangkan penyelesaian menyeluruh bagi mengatasi pandemik Covid-19 serta merangka pelan ekonomi negara untuk bangkit semula.

“Langkah jangka pendek secara spontan perlu dilengkapkan dengan pelan jangka panjang dan kerajaan perlu melengkapkan keupayaan negara dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, kesihatan, sosial, politik dan urus tadbir negara.

“Persoalan yang timbul ialah ketika pakej baharu diumumkan, hutang negara pasti meningkat dan lebih parah lagi apabila hutang kerajaan nanti akan ditanggung oleh generasi yang akan datang.

“Kebimbangan ini mampu meninggalkan impak negatif apabila pihak pelabur hilang keyakinan kepada ekonomi negara sehinggakan tidak mustahil rakyat Malaysia akan menjadi pendatang ke negara jiran bagi mencari pekerjaan ekoran kedudukan ekonomi yang terus meleset,” tegasnya.

Sejajar dengan itu tambah Mohd Azmi, aliran pergerakan buruh untuk mencari kawasan lebih subur akan berlaku apabila adanya tawaran gaji yang lebih lumayan dari negara jiran.

Jelasnya, pengumuman perpindahan operasi beberapa syarikat gergasi dari Malaysia ke negara jiran memberi isyarat yang serius.

Beliau berpendapat hal tersebut bererti pasaran kerja dalam negara akan menguncup dan pencari pekerjaan termasuk tenaga manusia dalam negara akan mencuba nasib diluar negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada urusan kebajikan rakyat secara telus merentasi unsur-unsur kepartian berdasarkan isyarat pemberhentian pekerja, pemotongan gaji, penggantungan dan penutupan perniagaan sepanjang tahun lalu.