Malaysia Dateline

Usah dilayan gerakan penubuhan kerajaan ‘pintu belakang’, nasihat Ustaz Ahmad Awang

Kadang-kadang tangannya mendepang ke udara. Beliau dalam banyak keadaan serius cuba merangkumkan kenyataannya ketika ditemubual.

Selama 2 jam 30 minit, Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang berkongsikan isi hatinya di tingkat dua Wisma Amanah Negara di ibu negara.

Bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) itu dilihat agak bimbang dengan beberapa perkembangan mutakhir tetapi pada masa sama masih optimis dengan masa depan AMANAH.

Mantan Pesuruhjaya Pas Perak itu menegaskan isu penubuhan kerajaan melalui ‘pintu belakang’ sebagai modal bagi memburukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, Ustaz Ahmad dengan tegas mengingatkan pimpinan PH agar tidak terus melayani dakwaan gerakan penubuhan kerajaan baharu itu dan berhenti mengeluarkan apa sahaja kenyataan berbentuk pertikaian mahupun penafian.

Jelasnya, isu peralihan kuasa yang kini beralih fokus ke arah komplot menjatuhkan kerajaan itu perlu henti diperkatakan oleh setiap pimpinan agar tidak bersikap terlalu reaktif.

“Sepatutnya tak usah dilayan kenyataan dan permainan parti pembangkang ini. Kita teruskan saja kerja kita. Sikap reaktif itu yang akan memburukkan lagi keadaan.

“Pergi jumpa setiap ahli dan tanya mereka adakah mereka terlibat dengan perancangan tersebut.

“Siasat dan buat perbincangan tertutup dalam parti. Bukan menafikan dan keluarkan kenyataan mempertikaikan rancangan pembangkang ini.

“Kita kalau melayan permainan pembangkang, memang makin teruk lah isu ini menjalar,” katanya dipetik dari akhbar Mingguan Amanah.

Ustaz Ahmad bimbang isu kerajaan ‘pintu belakang’ menyebabkan rakyat semakin keliru dengan komitmen Pakatan Harapan.

Isu peralihan kuasa yang diperkatakan sejak Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sejurus pembentukan kerajaan Pakatan Harapan itu dikatakan menjadi faktor kepada cakap-cakap mengenai penubuhan kerajaan baharu yang didakwa berpunca daripada tiada tarikh spesifik penyerahan kuasa Perdana Menteri.

Memperincikan kenyataannya, Ustaz Ahmad berkata, ia semakin rancak dipersoalkan apabila wujud pula rancangan kerajaan baharu yang mengenepikan AMANAH dan DAP.

Malah, ujarnya, pemimpin PH yang mula berbalah dan turut mendesak agar peralihan kuasa dilakukan segera hanya mengeruhkan keadaan yang hanya akan memihak kepada permainan politik pembangkang yang ingin menjatuhkan kerajaan.

Jelasnya, kenyataan demi kenyataan yang melayan pembangkang juga tidak membawa kesan baik malah rakyat semakin kabur dengan perjuangan kerajaan.

Justeru, tegas Ustaz Ahmad, pada saat ini setiap pemimpin perlu bijak menggunakan segala jentera untuk menyebarkan lagi agenda dan usaha kerajaan membangunkan negara.

“Inilah kelemahan kita. Media sosial kerajaan dan televisyen seperti Al Hijrah, RTM, tidak sepenuhnya digunakan.

“Televisyen ini seratus peratus belum digunakan menceritakan apa yang kerajaan buat. Bukan kita guna untuk kutuk pembangkang, tapi sepatutnya pimpinan kita guna medium itu untuk mendedahkan dan menjelaskan apa sahaja isu yang timbul.

“Kerajaan terlampau terbuka. Sikap ini kalau negara demokrasi macam di Barat, bolehlah. Tapi dalam konteks demokrasi kita ni, tak boleh buka ruang untuk terlalu terbuka,” katanya lagi yang pernah dilantik sebagai ahli Persidangan Agung Dakwah Islam Sedunia Libya.