
Usah jadi batu api tiup bara perselisihan
Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menyarankan golongan cendekiawan Muslim di negara ini tampil mempromosi keamanan.
Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu berkata, keamanan bukan sekadar bebas peperangan.
Sebaliknya, jelas beliau, keamanan beerti mewujudkan persekitaran kasih-sayang, kebahagiaan dan kecintaan kepada watan dan warganegara serta ummah.
“Hakikatnya, keamanan adalah hak pertama dan hak tertinggi yang perlu dituntut berbanding hak-hak yang lain. Tanpa keamanan bagaimana hak yang lain boleh wujud dan boleh dituntut?
“Contohilah Ben Bayyah. Bukan menjadi batu api atau bertindak meniup bara perselisihan dan persengketaan supaya menyala,” dipetik dari Facebook beliau hari ini.
Ustaz Zolkharnain menjelaskan Syaikh Abdullah Ben Bayyah begitu gigih mempromosi keamanan dalam masyarakat Muslim.
“Beliau (Syaikh Abdullah) mengasaskan Muntada Ta’ziz al-Silm Fi al-Mujtama’at al-Muslimah (Forum Mempromosi Keamanan Dalam Masyarakat Muslim).
“Beliau pernah tampil di pentas PBB bersuara tentang keamanan. Baginya, mengekalkan keamanan hendaklah didahulukan terhadap menuntut hak,” ujarnya.
Beliau berpendapat tidak timbul lagi persoalan mengapa keamanan perlu memandangkan tanpa keamanan tidak wujud tuntutan hak.
“Soalan yang relevan ialah bagaimana, yakni bagaimana mewujudkan dan mengekalkan keamanan supaya semua pihak boleh tampil menuntut hak masing-masing dalam pelbagai urusan,” hujahnya lagi.