Malaysia Dateline

Usah kait kesalahan individu, kumpulan dengan bangsa

Saya cuba mengelak dari menulis berkenaan isu Rohingya. Saya tidak pernah berurusan secara langsung dengan kaum ini, sama ada untuk urusan peribadi ataupun NGO. Hanya sedikit sekitar bacaan tentang sejarah Arakan, perlawanan mereka melawan kaum Buddha Rakhine dan susur cerita bagaimana mereka berakhir menjadi pelarian.

Cuma yang terdekat saya pernah membantu sebuah NGO untuk mengumpul dana membina beberapa buah perigi tiub untuk kegunaan pelarian di Cox’s Bazaar, Bangladesh.

Isu ini seperti biasa menjadi isu besar apabila netizen mula mengambil posisi sebagai pengulas. Apa pun pandangan kita mengenai mereka, ia dibina atas asas pengalaman. Ada yang pernah berurusan dengan bangsa ini, ditipu, digertak dan dihadap tanpa adab.

Namun yang menghairan, ada yang memberi pandangan tanpa punca. Ada yang hanya pernah mendengar perkataan Rohingya, tidak pernahpun bertemu dengan kaum ini, tidak membaca sejarah, tidak punya sebarang hubungan, hanya melihat di media sosial, dan ‘trending mood’ adalah ‘bashing’ kaum ini.

Mungkin semasa isu ini diangkat suatu waktu dahulu menjadi himpunan solidariti pelbagai aliran parti politik, NGO, persatuan dan sebagainya, ia dibina atas dasar sentimen tanpa pemahaman yang jelas.

Pandangan sesiapa pun ia bebas dinyatakan. Harus dihormati, setuju ataupun tidak bersetuju. Bukan hanya isu Rohingya, hatta apa juapun, perlu bersederhana, berpada dan tidak melampau.

Saya tidak mahu mencampuri urusan pandangan orang lain mengenai Rohingya ini. Namun, perlu ditegur sikap kita di media sosial, sehingga ada yang mengancam dengan kekasaran, membakar, membunuh, menghalau, mencederakan. Belum lagi dengan kata nistaan, celaan, maki hamun.

Apakah kerana marahkan suatu kaum atau kelompok kita diharuskan melakukan ini semua? Atas dalil apa? Jika ini diteruskan, tidak mustahil nanti ada satu bangsa yang diperangi kerana ada 10 orang dari bangsa itu menjadi pencuri dan perompak, sedangkan jutaan lagi adalah orang biasa.

Tidak mustahil juga nanti kita dituduh bangsa perasuah kerana ada sebilangan anak bangsa yang disabitkan kesalahan atas perlakuan ini walaupun yang lain bekerja dengan bersih dan Amanah.

Sejarah menitipkan bagaimana bangsa Indian di Amerika hampir pupus dek penjajah Eropah kerana satu puak Indian menculik Mary Campbell, sehinggakan kebencian mengembang kepada seluruh bangsa dan puak Indian.

Sejarah holocaust yang ditulis mencatatkan lebih 6 juta kaum Yahudi dibunuh oleh Nazi kerana ketamakan sebilangan kapitalis Yahudi menguasai ekonomi Jerman-Austria.

Juga lihat bagaimana bencinya kaum Yahudi kepada bangsa Arab Palestin. Kanak-kanak seawal usia diajar bahawa semua bangsa Arab jahat, teroris dan akan membunuh semua bangsa Yahudi.

Hanya dengan sedikit khabar angin bahawa ada patung Hindu yang dirosakkan oleh sekumpulan samseng Muslim, ia bertukar menjadi pertempuran yang mengorbankan ratusan orang yang tidak terlibat.

Lihat juga bagaimana Amerika memberi layanan kepada orang Islam. Walaupun yang didakwa dalang 911 adalah sekumpulan pengganas yang beragama Islam, tetapi Muslim dipotretkan semuanya adalah sama, pengganas dan teroris. Kebencian ini berkembang menjadi Islamophobia di seluruh dunia.

Ini adalah bahana generalisasi. Apabila kita mengaitkan kesalahan individu atau kumpulan dengan bangsa dan anutannya. Sehingga kita merasa tidak berdosa memaki seorang tua yang keluarganya dibunuh, anak dan isterinya diperkosa, tanah dan hartanya dirampas, dizalimi oleh bangsa dan agama lain, diusir menjadi pelarian, hanya kerana sekumpulan bangsanya yang jahat.

Islam memerangi asobiyah. Tanpa kita sedar, dengan komen, status dan pandangan kita, kita terperangkap dalam lingkaran rasis, fasis dan Nazis yang dibenci agama.

Sikap membela kaum sendiri walaupun jelas kesalahannya. Kita membutakan mata melihat seorang pekerja ditindas oleh majikan sebangsa dengan kita, kerana pekerja yang dizalimi itu bukan bangsa kita.

Kita membiarkan seorang perempuan yang menderita penyakit kronik mendapatkan bantuan perubatan kerana ia bukan dari bangsa kita. Kita membiarkan anak-anak berkeliaran tanpa pendidikan, hanya kerana dia bukan kanak-kanak sebangsa dengan kita.

Ramadan ini mengajak kita bukan hanya merasai kelaparan yang dirasakan kaum fakir miskin. Tetapi mendidik kita merasa empati kepada manusia lain yang hidupnya tidak sesempurna kita. Yang dipaksa menjadi pelarian, pengemis, gelandangan…

Semoga Ramadan kali ini menyucikan jiwa dan naluri kita, menjadi manusia yang lebih baik.

*Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.