Malaysia Dateline

Usah kerana pelacur politik, ada agamawan jadi pelacur agama

Selepas Ulama Dunia cuba menyucikan Kerajaan Perikatan Nasional (Tebuk Atap) dengan warkah penuh dengan fitnah dan kebencian kepada pemimpin gerakan Islam, kepanasan kelompok agamawan atas dosa-dosa mereka hari ini bertiup ke utara tanah air.

Kata Mufti Utara, dia bukanlah menyokong pengkhianat. Pelbagai dalil dilontarkan. Membaca tulisan Mufti Utara itu seolah-olah jawapan seorang yang jahil dalam agama, lebih rendah daripada cara berfikir Guru KAFA dan Tok Siak di masjid. Inilah gambaran “bebal tak bertebing”.

Jadi, hari ini saya ingin bicara dengan bahasa yang mudah difahami. Pertama, menyentuh soal pelantikan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong, apakah ada Tuan Mufti dengar ada sesiapa daripada kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH), hatta DAP pertikaikan YDP Agong? Tidak. Jadi, tidak perlu Tuan Mufti sentuh akan hal itu untuk menutup kejahatan sendiri.

Ini bukan soal undang-undang tetapi prinsip agama hatta moral seorang ahli politik. Untuk mudah faham, saya berikan contoh mudah:

 

1. Mufti dan ulama yang melacurkan agama

Satu contoh mudah, apabila ada kalangan rakyat mengatakan seorang mufti di sebelah Utara itu ulama jahat mahu pun ashabiyah, apakah mereka mempertikaikan kuasa Raja melantik mufti tersebut? Tidak.

Apakah Rakyat yang mempertikai kejahatan dan ashabiyahnya mufti tersebut membawa maksud mereka mempertikai kuasa dan hak Raja melantik seorang mufti? Sudah tentu tidak.

Rakyat mengkritik Mufti Utara sebut sebab mulutnya terlalu jahat, ucapannya terlalu ashabiyah hatta boleh ditakrif sebagai racis. Apabila ada tuan mufti yang diberi amanah untuk melaksanakan kerja-kerja agama, tetapi dia buat kerja politik, itu juga satu perbuatan khianat.

Kalau ada rakyat yang mengkritik, itu ada asasnya. Perbuatan itu saja sudah menyalahi prinsip amanah dan agama.

Jangan dimarah kepada mereka. Kritikan itu disebabkan peribadi dan cara mufti itu sendiri. Tidak ada kaitan dengan kuasa Raja dan Sultan yang melantik mufti tersebut. Dari sudut undang-undang, tiada siapa kata mufti itu mufti yang tidak sah atau mempertikai kuasa Raja yang melantik mufti tersebut.

 

2. Curang dalam perkahwinan bukan salah Tok Qhadi

Contoh lagi mudah, kuasa Majlis Agama dan Tok Qhadi menikahkah pengantin yang jahat. Itu bukan salah Tok Qhadi hatta Majlis Agama. Kalau ada Tok Lebai hatta Mufti yang bawa larikan tunang orang atau pecah-belahkan rumah tangga orang sehingga bercerai berai, selepas itu dia bernikah dengan isteri orang itu, pernikahan itu tetap sah di sisi undang-undang tetapi menyalahi prinsip moral dan agama.

Itu bukan salah Tok Qhadi atau salah Majlis Agama. Bukan jadi kerja Tok Qhadi untuk siasat pengantin itu goda tunang atau isteri orang. Itu salah Tok Lebai dan Pak Mufti yang pergi sebat tunang dan isteri orang.

Kalaulah pengantin lelaki itu pandai baca doa, sujud syukur selepas akad nikah pun, ia tidak menghilangkan dosa-dosa dia dan kerja jahat dia sebat tunang dan isteri orang.

Jadi, apabila orang kampung berkata-kata pasal perkahwinan dan kerja jahat pengantin Tok Lebai itu, bukan orang mengata Majlis Agama dan Tok Qhadi. Orang kata tentang pengantin dan isteri dia yang jahat itu.

 

3. Bezakan prinsip agama dan undang-undang

Sebagai Mufti, dia kena membezakan antara prinsip agama dan undang-undang. Seorang Mufti sebaiknya menjaga prinsip agama terlebih dahulu daripada Undang-undang. Khianat tetap khianat. Bak kata orang Inggeris: “Legally right but morally wrong!” Kalau dalam kaedah Fiqh disebut الغاية لا تُبرر الوسيلة
iaitu matlamat tidak menghalalkan cara.

Untuk pengetahuan, kerajaan PH kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat. Ia diakui oleh Tan Sri Muhyiddin sendiri bahawa kerajaannya bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Jadi, tidak perlulah Tuan Mufti bersungguh-sungguh mempertahankan pengkhianatan ahli-ahli politik. Jangan disebabkan pelacur politik, ada agamawan menjadi pelacur agama sebagaimana diingatkan oleh al-Quran dan Nabi Muhammad SAW.

Tidak payahlah bicara soal undang-undang. Dalam kalangan pemimpin PH, mereka adalah pakar undang-undang dan Perlembagaan.

Kabinet Pakatan Harapan (PH) tumbang kerana pengkhianatan ahli politik yang tidak harus dihalalkan termasuk daripada kalangan ahli agama.

4. Tidak perlu ubah dalil

Kalau Tuan Mufti mahu sokong PN, sokonglah. Tiada siapa marah. Tidak perlu dalil apapun. Kami tidak perlu burukkan Mufti Utara yang sudah sedia buruk atas tingkah laku dan ucapan ashabiyahnya sendiri.

Tidak perlu bawa dalil taat kepada pemimpin hatta jika pemimpin daripada hamba sahaya daripada kalangan Habsyi pun. Sebelum ini pun kerajaan yang dan Menteri Kerajaan yang dapat perkenan YDP Agong, tidak ada seorang pemimpin hatta pemimpin DAP yang memaksa Tuan Mufti kepada maksiat tetapi Tuan Mufti pula yang menghasut rakyat menumbangkan Kerajaan.

Cukuplah Tuan Mufti renungkan kembali dalil-dalil Tuan Mufti itu sendiri yang mana suatu masa dahulu mengharamkan perbuatan perbuatan jahat ini.

Tidak perlu selak kitab Hadis. Cukup untuk dengarkan kembali kuliah-kuliah Tuan Mufti dulu yang mengkritik perbuatan perbuatan khianat ini.

Tidak perlu Tuan Mufti tunggu saat dan hari Tuan Mufti dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk ditontonkan semula segala perbuatan, tuduhan dan amalan Tuan Mufti. Cukup search history tulisan dan post Tuan Mufti sendiri.

 

5. Benarlah peringatan Said Ramadhan al-Bhuti

Inilah hikmah besar, apabila Allah menzahirkan yang menjadi rahsia Allah selama ini. Sebagaimana Allah menguji iblis untuk sujud kepada Adam untuk menzahirkan kebencian dan rasa bongkak si iblis. Nabi pernah ingatkan akan kemunculan kelompok yang dia lebih takutkan dari Dajjal.

Namun, Sheikh Said Ramadhan pernah ramalkan kemunculan kelompok Khawarij yang menisbahkan diri mereka sebagai kelompok Islamiyyin.

Kata Sheikh, kelompok ini dia akan mengubah fatwa mereka hanya untuk tujuan tujuan berpolitik. Gambaran ulama jahat ini telah lama Sheikh Said Ramadhan al- Bhuti sebut dalam khutbahnya:

وإذا هم اليوم يفتون بإباحتها، يفتون بصحتها، يفتون بجوازها، ونتساءل ألعل هنالك دليلاً غاب عنكم بالأمس وعرفتموه اليوم ومن ثم غيَّرْتم الحكم؟

“Mereka (Islamiyyin) pada hari ini mereka menghalalkannya. Mereka hari ini fatwakan membolehkannya. Kata Said Ramadhan, kami ingin bertanya kepada kelompok ini: Apakah dalil-dalil ini tidak kamu jumpai waktu dulu, dan baru kamu dapati pada hari ini, lalu kamu mengubah hukumnya?

لا. الحكم هو هو والدليل هو هو ولكن المصلحة السياسية هي التي اختلفت… ”

Kata Said Ramadhan, Tidak.

“Hukumnya sama, dan dalilnya tetap sama. Yang berubah adalah cita-cita dan kepentingan mereka dalam politik”

Semoga Allah pelihara kita dari kemunculan ulama jahat yang Nabi lebih takutkan dari kelompok Dajjal.