Malaysia Dateline

Usah ketepikan ahli yang tersingkir dalam pemilihan AMANAH

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar mengingatkan ahli parti supaya jangan mengenepikan ahli yang tersingkir dalam sesi pemilihan jawatankuasa AMANAH.

Beliau berkata, proses pemilihan ahli jawatankuasa AMANAH tidak seharusnya membawa kepada kerenggangan atau perpecahan dalam kalangan ahli parti itu sendiri.

“Jangan merasakan ahli yang terpilih itu ‘kuat’ kerana parti kita (AMANAH) kekuatannya masih belum cukup. Parti memerlukan semua orang untuk memberikan sumbangan, sama ada ahli yang tersingkir harus dipanggil semula.

“Jadi, apa yang penting selepas sesi pemilihan itu adalah, kita harus merapatkan kembali hubungan dalam kalangan kepimpinan dan juga ahli-ahli parti AMANAH itu sendiri,” tegasnya.

Antara perwakilan AMANAH Wilayah Persekutuan yang hadir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan AMANAH Wilayah Persekutuan Kali Keempat, di Dewan Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), semalam.

Turut hadir dalam konvensyen itu adalah Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli dan pimpinan Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi.

Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia mengulas demikian ketika ditanya mengenai penafian Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berhubung dakwaan wujudnya usaha untuk menyingkirkan mana-mana pemimpin ketika sesi pemilihan jawatankuasa AMANAH dijalankan.

Salahuddin menambah, beliau tidak mendengar ‘penyingkiran’ itu sebagai satu isu, malah sesi pemilihan di beberapa buah negeri untuk memilih calon yang layak memimpin, dijalankan dengan begitu baik dan harmoni.

Mengulas lanjut, Mahfuz percaya bahawa saranan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah lebih kepada mahu menunjukkan perpaduan dalam kalangan ahli parti.

“Perpaduan itu adalah seperti saling memerlukan antara satu sama lain. Orang lama dengan pengalamannya, dan orang muda dengan jangkauan pemikiran mereka yang jauh.

“Kedua-dua ciri tersebut perlu digabungkan dalam kepimpinan parti kita ini,” ujar Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Terdahulu, Salahuddin dilapor berkata, tidak berbangkit soal mahu menyingkirkan sesiapa dalam AMANAH.

Ahli Parlimen Pulai itu mengulas demikian sebagai jawapan balas kepada pertanyaan wartawan berhubung terdapat ura-ura dakwaan atau usaha mahu menyingkirkan pemimpin tertinggi dalam parti AMANAH.

Sementara itu, keputusan pemilihan AMANAH Wilayah Persekutuan yang berlangsung semalam menyaksikan Pengerusinya, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli kekal memegang jawatan tersebut sehingga 2022.

Jawatan Timbalan Pengerusi pula disandang oleh Ketua AMANAH Cawangan Titiwangsa, Zaharudin Othman, manakala Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi sebagai Naib Pengerusi 1 dan Nik Razak Nik Ridzuan sebagai Naib Pengerusi 2.

Mahfuz menyampaikan Anugerah Tokoh AMANAH kepada Zamhuri Abu Tahir.