Malaysia Dateline

Usah lewatkan lantik AJK PAC

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh menggesa kerajaan untuk tidak melewat-lewatkan pelantikan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), bagi melengkapkan struktur jawatankuasa berkenaan yang sudah tertangguh sejak Mac lalu.

Beliau berkata, sejak berlaku Langkah Sheraton dan angkat sumpah Kabinet kerajaan baharu pada 10 Mac, institusi PAC terpaksa menghentikan segala mesyuarat dan prosiding mereka.

Katanya, sehingga Ogos 2020, PAC hanya mengadakan sembilan mesyuarat berbanding 60 mesyuarat pada tahun lalu.

Itupun katanya, sembilan mesyuarat itu dibuat sepanjang tempoh bulan Januari hingga Mac tahun ini iaitu sebelum tumbangnya Pakatan Harapan.

“Mesyuarat terakhir dipengerusikan Datuk Dr Noraini Ahmad pada 9 Mac iaitu sebelum ahli Kabinet dilantik dan mengangkat sumpah.

“Setelah ahli kabinet seramai lima orang dari PAC menjadi ahli kerajaan, maka komposisi PAC hanya terdiri dari pihak pembangkang sahaja.

“Disebabkan PAC merupakan Jawatankuasa bi-partisan yang mana kedua-dua pihak kena ada, bekas Speaker Tan Sri Mohamad Ariff mengarahkan supaya PAC tidak mengadakan apa-apa prosiding sehingga satu notis diberikan,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Wong juga menegaskan, biarpun sudah enam minggu Sidang Parlimen berlangsung, namun pihak kerajaan masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda mereka akan melakukan pelantikan ahli PAC yang seharusnya membabitkan penglibatan ahli pembangkang dalam jawatankuasa berkenaan.

Menurutnya lagi, sekiranya ia terus dilewatkan, kerajaan akan berhadapan risiko di mana dari Januari sehingga November depan, tiada apa-apa prosiding dapat dijalankan.

“Mana keazaman politik kerajaan untuk memastikan prinsip semak dan imbang boleh ditunaikan dan dilaksanakan?

“Kita menunggu, ingat 18 Mei PAC boleh distruktur tetapi tidak. Kita tunggu lagi pada persidangan Parlimen kali ini yang bermula 13 Julai sehingga masuk enam minggu dah, tiada juga. Saya dah bangkitkan dalam perbahasan tapi tak didengar kerajaan sekarang.

“Dalam tempoh Januari hingga Mac kita mampu adakan mesyuarat tapi bukan prosiding. Mesyuarat tersebut adalah untuk penyediaan laporan dan verifiksi laporan yang kita muktamadkan. Kurang dari tiga bulan kita mampu adakan sembilan mesyuarat,” katanya lagi.