Malaysia Dateline

Usah lewatkan, lantik segera MPKK Perak baharu

Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Asmuni Awi meminta agar kerajaan melantik segera Ketua kampung yang baharu bagi mewakili Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) agar keperluan masyarakat mendapatkan perkhidmatan MPKK tidak terus terjejas.

Ia selepas kerajaan mengeluarkan notis penamatan perkhidmatan MPKK lantikan Pakatan Harapan (PH) dua hari lalu yang bakal berkuatkuasa 30 April ini.

Asmuni berkata, meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada penghulu mukim sehingga tempoh Jun ini hanyalah membebankan lagi tugas sedia ada yang ditanggung

“Saya merayu pihak kerajaan kalau tak dapat isi semua, isi lah secara berperingkat supaya dengan itu keadaan keperluan masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan MPKK ini dapat disediakan walaupun tak sepenuhnya.

“Jika kita nak bergantung semata-mata pada penghulu melaksanakan tugas yang sebelum ini dilakukan oleh MPKK, maka sudah tentu lah penghulu terpaksa menanggung tugas yang lebih berat.

“Kita sedia maklum bahawa pihak penghulu bukan jaga satu kampung, tapi jaga satu mukim yang terdiri lebih lima hingga enam dun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat AMANAH Perak, hari ini.

Terdahulu, menerusi surat yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Nor Sham Rahman itu, semua Pegawai Daerah diarahkan untuk mengemukakan senarai calon baharu ketua kampung dengan kerjasama Adun di kawasan masing-masing.

Manakala, semua penghulu mukim akan menjalankan tugas sementara ketua-ketua kampung sehingga pelantikan baharu selesai dilakukan.

Pada masa sama, Pengerusi AMANAH Perak itu turut meminta agar kerajaan meneruskan pembayaran elaun kepada MPKK sehingga hujung April ini selaras dengan tugas akhir yang mereka lakukan.

“Oleh kerana sebelum ini dikatakan elaun kepada MPKK hanya dibayar kepada sehingga 30 Mac, saya minta kerajaan supaya teruskan bayaran elaun ini sehingga ke hujung bulan April sesuai dengan tugas akhir yang mereka lakukan.

“Dahulu elaun mereka RM900, sekarang dah dipotong kepada RM500. Itu tak banyak manalah yang boleh ditanggung oleh kerajaan dan bukanlah satu bebanan yang berat sangat untuk kerajaan memikulnya

“Tambah lagi dalam keadaan Covid-19, tugas ketua kampung ini amat mencabar,” ujarnya.