Malaysia Dateline

Usah memalukan bangsa

Entah untuk kali yang keberapa
Engkau mengulanginya dan mengulanginya
Sejak mula memegang kuasa dulu 38 tahun lalu
Engkau menyebutnya dan hari ini pun engkau
menyebutnya seperti sebuah ratib mantera
Ratib mantera ratib mantera membangun
membangun membina memajukan bangsa
Ratib mantera itu padahal melemahkan memalukan
dan engkau apakah tidak tahu? tidak tahu?
Menyebut ulangi lagi hari ini itu adalah
Penghinaan teramat berat kepada bangsa
Bangsa yang sekarang terhimpit tertekan marah
Melihat kamu kini dengan mata menyala merah
23 tahun, dulu, dan sekarang kau datang lagi
Mahu mengatakan itu? Mengatakan itu?
Bangsa Melayu malas? Itu? Mengatakan itu?
Bangsa Melayu malas? Kau tahu? Kau tahu
kau menghina bangsa Melayu. Kau menghina!
Kau pemimpin 23 tahun kau apa kau buat?
Ha? Apa kau buat? 23 tahun. Dan sekarang
Kau tak malu kau naik lagi ke kerusi kuasa itu
Kau kata lagi Melayu malas Melayu miskin
Melayu mundur. Heyyy! Kamulah yang gagal
Kamu gagal memimpin. Kamu gagal mengubah
Kamu memalukan. Memalukan bangsa. Kamu gagal!
Kamu hanya mahu tutup kegagalan besar kamu
Orang Melayu malas Melayu itu Melayu ini
Mengapa salahkan orang sedang hakikatnya kamu yang gagal!
Dan dulu bukankah kamu lumuri najis di muka Bangsaku agamaku Islam nan suci
hanya demi mengekalkan kuasamu kerusimu.
Fitnah menjadi strategi. Fitnah hidup subur dipelihara diperguna
Dan tokoh bernama Anwar itu cuba dibunuh pelbagai
cara pelbagai helah akhirnya terpaksa juga diterima
Pun demi kuasa! Tiada lain melainkan kuasa
Berahimu kepada kuasa itu sungguh luarbiasa. Di usia
93 masih tergoda, masih haloba merebut-rebut
Aduhai – mahu merebut apa lagi! Soal bahasa itu
Sudahlah! Serahkanlah kepada pemimpin-penimpin
yang mewarisi. Kamu bersiaplah untuk ke sana
Ke sana, ke sana. Mengapa masih nak menghina
Bahasa Melayu menghalang kemajuan lah. Tak boleh
diguna. Bahasa Melayu mundur memundurkan
Mesti guna bahasa Inggeris.
Bahasa Inggeris itu maju itu bahasa ilmu bahasa dunia bahasa yang boleh memajukan bangsa Melayu.
Haah! Kamu menghina!
Kamu menghina Melayu untuk diri kamu dipandang
Hebat oleh dunia. Haah! Kamu mahu menipu dunia
Heyy! Jangan kamu fikir dunia bodoh sangat lah
Kamu tahu. Bangsa Melayu itu aku! Ini!
Bangsa Melayu itu sebuah bangsa bermaruah
Bangsa Melayu tidak terima penghinaan
Kamu! Kamu.. Tunduk! Tunduk, dan mohon maaf!
Pada bangsa Melayu
-ii-
Ya, demikianlah kalau amarah tidak dijinakkan
disejukkan didamaikan diamankan disilaturahimkan
Bukan tidak menghormati. Aku sangat menghormati
Terlalu banyak jasabakti kamu kepada negara
KLCC KLIA Putrajaya kereta nasional dan banyak lagi
Banyak lagi. Jasabakti kepada negara. Kepada bangsa?
Apa jasabakti kepada bangsa? Mana?
Aku tanya kamu jasabakti kamu kepada bangsa?
Apa? Ada bahasa pun kamu tolak. Bahasa itu
jiwa bangsa. Kamu tahu? Yang kamu tolak itu jiwa
bangsa. Jiwa bangsa Melayu. Kamu tolak jiwanya
Jadi apa kamu mahu lagi dari bangsa Melayu?
Kamu sudah 94 Mahathir, umur yang sangat
istimewa. Aku 70, pun sudah di perbatasan
Entah kamu entah aku yang mendahului ke sana
Marilah kita berdamai. Sebelum menyeberang
Memang aku marah keceluparan kamu. Kemungkaran
sebenarnya. Maka aku menegur kamu. Aku menegur!
Ikhlas. Dari hati. Kau pun lama kukagumi, Mahathir
Mari kita duduk, di pelabuhan terakhir ini
Kita akan berangkat sendirian. Tinggal semua
Tinggal semuanya, kecuali bekalan, yang diredhai Nya
Hanya yang diredhai Nya. Mahathir. Demi Waktu
Dia bersumpah: Demi Waktu. Sesungguhnya manusia
dalam kerugian, illallaziina aamanuu wa’amilus
ssoolihaat – beriman, beramal soleh; watawaasau
bil-haq, bertegur-tegur nasihat akan kebenaran
Bertegur-tegur nasihat akan kesabaran. Mahathir.
Aku menegur. Watawaasau bil-haq, Watawaasau
bis-ssabr. Demi Waktu. Allah bersumpah
Mari kita duduk di hujung perjalanan ini
Di penghujung ini, kita berpesan-pesan
Demi Waktu yang mengizinkan. Kita berpesan-
pesan. Aku pun sudah sampaikan
Ya Allah, aku sudah berkata
DINSMAN
10.9.2019