Usah paksa pelajar tahfiz hadiri program parti

Usah paksa pelajar tahfiz hadiri program parti

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin berkata, pihak pengurusan pusat tahfiz tidak wajar mengerahkan pelajar mereka menghadiri Fastaqim 2.0 yang merupakan program parti politik.

Menurutnya, tindakan mengangkut pelajar tahfiz ke program di Kuala Nerus, Terengganu yang berakhir semalam bercanggah dengan peranan mereka yang sepatutnya fokus dalam menghafal ayat suci al-Quran.

“Fastaqim itu acara parti politik. Anak-anak tahfiz yang berusia belasan tahun, belum layak mengundi pun sepatutnya memberi tumpuan kepada aktiviti hafaz Quran bukan terlibat dengan acara parti politik sebegitu.

“Guru-guru tahfiz tidak wajar membawa anak-anak tahfiz untuk sertai acara parti politik. Tiada kena-mengena pun dengan bidang yang mereka ceburi,” tegasnya.

Beliau berkata, masa bagi pelajar tahfiz perlu diisi dengan mengulangkaji hafalan mereka bukan mendengar ceramah politik kepartian.

“Saya tak persoalkan jika anak-anak itu dibawa oleh ibu bapa masing-masing ke acara itu. Saya juga pernah bawa anak-anak belasan tahun saya ke acara politik kepartian.

“Tapi, apabila yang bawa adalah guru atau pihak lain selain ibu bapa, adakah tindakan itu betul?” soalnya.

Beliau menegaskan segala bentuk identiti dan perlambangan Islam tidak harus dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan mengheret pelajar tahfiz menghadiri acara politik kepartian.

“Saya tak fikir ibu bapa yang hantar anak-anak ke sekolah tahfiz rela anak-anak mereka diheret menyertai acara politik kepartian.

“Nama Islam pada parti politik, penceramah yang pakai serban, laungan takbir bukan alasan untuk mentabrirkan anak-anak tahfiz menyertai acara politik itu.

“Acara itu bukan acara mereka, masa itu bukan masa mereka, kerja itu bukan kerja mereka, kerana acara, masa dan kerja mereka ialah hafal Quran, bukan tumpang bertakbir kerana dengar ceramah politik kepartian,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Rosak 

Rayuan mohon bantuan ini sekali gus dedah sikap Pas eksploitasi pelajar tahfiz bagi program politik.

Mengulas insiden bas yang membawa pelajar tahfiz untuk menghadiri Fastaqim 2.0 rosak dalam perjalanan, Ustaz Zolkharnain berkata, masalah lebih besar dibimbangi timbul jika berlaku sebarang kemalangan.

“Ada bas anak-anak tahfiz yang rosak dalam perjalanan. Apa yang saya tahu, ustaz yang bawa anak-anak tahfiz yang rosak bas itu tak hafaz Quran pun.

“Macam mana dia pula boleh bawa anak-anak tahfiz ke acara itu? Nasib baik bas itu cuma rosak, kalau berlaku kemalangan atau kecelakaan lain, macam mana?

“Siapa yang bakal tanggung padah? Satu lagi, adakah anak-anak tahfiz itu mendapat kelepasan daripada ibu bapa masing-masing untuk sertai acara parti politik?” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan program khusus untuk pelajar tahfiz seperti acara pertandingan hafaz Quran atau yang bersesuaian dengan status mereka sebagai anak-anak tahfiz bukannya sekadar meramaikan majlis.

“Jika mereka ingin dilibatkan juga, janganlah peralatkan mereka untuk ramaikan majlis. Jangan paksa mereka terlibat dengan aktiviti politik,” ujarnya.

Ustaz Zolkharnain turut mengingatkan Islam bukannya milik mutlak Pas sehinggga sewenang-wenangnya dieksploitasi.

“Nama Islam pada Pas tidak bermakna Pas boleh buat sesuka hati atas nama agama, boleh tafsir Quran sesuka hati sesuai dengan selera politik Pas.

“Sebab, Islam dan Quran bukan hak eksklusif Pas, tapi Islam adalah rahmat untuk semua,” hujahnya lagi.

Laman Facebook rasmi Fastaqim 2.0 semalam memuatkan rayuan bantuan kepada penumpang bas yang merupakan pelajar Tahfiz Al-Abrar apabila kenderaan itu rosak dalam perjalanan pulang selepas menghadiri perhimpunan Pas itu.

Turut dimuatkan sekeping foto yang menunjukkan imej bas berwarna kuning bersama seorang dewasa berjubah dan berserban hijau dipercayai guru pengiring sedang berdiri serta sebahagian kanak-kanak berkopiah duduk berkumpul di tepi jalan raya.

Mereka dikatakan berada di lokasi Bukit Besi KM 362.2 LPT 2 Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

“Pohon jasa baik rakan-rakan berdekatan menghulurkan bantuan segera. Terima kasih,” dipetik daripada media sosial itu.

7.5
OVERALL SCORE
7 user votes x 8.6