Malaysia Dateline

Usah pertimbang pengambilan pekerja asing, siasat FWCMS

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menegaskan mengambil pekerja asing tidak sepatutnya dibenarkan atau tidak perlu dipertimbang memandangkan kadar semasa penggangguran Malaysia yang cukup menyedihkan.

Dalam masa sama, beliau juga menggesa Menteri Dalam Negeri mempertimbangkan permasalahan pengurusan berkaitan isu pekerja asing terutama pelaksanaan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang dikendalikan Bestinet Sdn Bhd.

“Beberapa minggu kebelakangan ini, isu pekerja ini menjadi perhatian utama mereka berikutan berlaku bantahan di Bangladesh berikutan dakwaan layanan buruk pekerja asing oleh Bestinet Sdn Bhd.

“Ini diikuti oleh seruan untuk menghentikan kemasukan pekerja asing dengan keadaan kesan pandemik Covid-19 dan kesan langsungnya terhadap ekonomi, perniagaan dan kadar pengangguran di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raja Kamarul berkata, adalah penting untuk menghentikan kemasukan pekerja asing sehingga kajian komprehensif dilakukan mengenai strategi penempatan semula pekerja pasca Covid-19.

“Perlu ada siasatan terhadap FWCMS, yang mendapat banyak kritikan sejak diperkenalkan sebagai projek ‘Proof of Concept’ pada tahun 2015 di bawah Kementerian Dalam Negeri,” katanya lagi.

Bulan lalu, Bestinet menafikan dakwaan persatuan agensi pengambilan pekerja di Bangladesh yang mengatakan sistem itu gagal melindungi hak dan kebajikan pekerja warga negara itu di Malaysia.

Kata Bestinet, FWCMS adalah sistem holistik yang sepenuhnya digital dan automatik untuk menangani kerosakan dan kebocoran bagi meningkatkan kecekapan dalam pemprosesan dan pengurusan pekerja asing ke Malaysia.

Katanya lagi, Bestinet bukanlah agensi pengambilan pekerja dan juga tidak terbabit dalam operasi proses pengambilan pekerja asing di Malaysia atau di negara sumber tenaga kerja seperti Bangladesh.