Malaysia Dateline

Usah pilih kasih, benarkan peniaga kecil cari rezeki

Sebelum ini, kami menerima arahan tentang larangan berniaga di premis kami sendiri di Medan Selera. Kami dicadangkan untuk berniaga di rumah sahaja.

Hari ini kami didatangi oleh penguatkuasa Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) sebanyak dua kali. Kali pertama, penguatkuasa tersebut memaklumkan tidak salah berniaga di rumah, cuma jaga penjarakan sosial.

Beliau siap tanya, kenapa tidak berniaga di kedai saja? Saya hairan. Saya cakaplah sebelum ini sudah bertanya kepada Yang Dipertua MDBG, dia kata tidak boleh sebab atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dia cakap berniaga saja di kedai, tidak ada masalah. Kami pun lega, dan berkira-kira untuk berniaga di kedai semula.

Tidak sampai sejam selepas itu, penguatkuasa itu datang balik. Dia kata, baru dapat tahu, berniaga di rumah juga tidak boleh. Dia kata tidak boleh pamerkan makanan, hanya masak di rumah untuk COD sahaja.

Pembeli pun tidak boleh datang membeli di rumah. Beliau mengarahkan kami tidak berniaga di rumah selepas ini.

Saya tanya pada dia, apa beza kami pamerkan makanan dengan kedai mamak dan KFC pamerkan makanan di premis mereka?

Dan apa beza pembeli datang beli di rumah dengan pembeli datang kedai mamak dan KFC? Penguatkuasa itu gagal memberi jawapan yang meyakinkan.

Saya pun pelik, arahan yang dikeluarkan kerajaan ini seolah-olah hanya memberi faedah kepada entiti besar sahaja dan membelakangi peniaga kecil yang berusaha mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Adalah tidak adil kita membenarkan kedai-kedai besar berniaga tetapi tidak membenarkan peniaga kecil berniaga sedangkan peniaga kecil ini mengikut kriteria yang ditetapkan sama seperti kedai-kedai besar seperti KFC, McD, kedai mamak dan sebagainya.

Saya tidak salahkan penguatkuasa tersebut kerana beliau hanya menjalankan tugas, saya ucap terima kasih kepada mereka yang mengambil berat tentang kami.

Tapi saya cakap, mahu larang biarlah adil. Jangan kerana namanya restoran mereka dibenarkan berniaga tetapi peniaga kecil tidak boleh sedangkan tiada bezanya antara kami yang turut akan ikut segala kriteria yang diberikan. Janganlah double standard dalam penguatkuasaan.

Selepas itu, jiran saya yang turut berniaga datang tanyakan saya, bagaimana? Esok bolehkah berniaga lagi?

Saya kasihan pada mereka. Mereka berusaha juga untuk berniaga mencari rezeki untuk keluarga, namun turut ‘diganggu’ oleh sang penguasa.

Walhal, kedai-kedai mamak, KFC dan sebagainya tenang meneruskan operasi dengan tenang tanpa takut dengan apa-apa gangguan dan ancaman!