Usah pinda OSA,  gubal Akta Kebebasan Maklumat – Suaram

Usah pinda OSA, gubal Akta Kebebasan Maklumat – Suaram

Kerajaan Persekutuan tidak wajar memperketat Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), sebaliknya perlu menggubal Akta Kebebasan Maklumat bagi memastikan segala skandal kewangan dan ketirisan melibatkan kerajaan dibongkar secara telus dan adil.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Amir Abd Hadi berkata setiap rakyat ada hak untuk memperoleh maklumat berkaitan wakil rakyat mereka kerana ia melibatkan kepercayaan mereka terhadap sistem demokrasi yang diamal di negara ini.

“Ahli masyarakat ada hak dapat maklumat salah laku wakil rakyat atau agensi kerajaan kerana ia melibatkan masa depan mereka dan negara. Justeru, rakyat wajar mengetahui skandal rasuah pemimpin.

“Setiap negara yang mengaku demokratik perlu melaksanakan Akta Kebebasan Maklumat. Malah, pada hari ini hampir 130 negara mempraktikkannya. Zimbabwe dan Indonesia pun ada,” katanya pada Roketkini.

Mengakui hal berkaitan keselamatan dan ketenteraan seperti strategi pertahanan negara perlu dirahsiakan dari umum tetapi beliau berpendapat skop ‘rahsia’ mengikut OSA terlalu luas dan boleh ditakrif sewenang-wenangnya.

“Kita tidak nafikan perkara melibatkan keselamatan dan pertahanan negara perlu dijaga. Namun, adakah mendedahkan rasuah dan ketirisan pemimpin mengancam keselamatan negara?

“Adakah menjadi pemberi maklumat kepada skandal kewangan 1MDB, contohnya, menggugat keselamatan negara? Padahal skandal kewangan itulah yang menggugat ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi agar hukuman mengikut OSA diperketat kepada penjara seumur hidup dan 10 sebatan kerana ia kononnya melibatkan pembocoran rahsia kerajaan.

Bekas aktivis pelajar itu berkata OSA dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sedia ada tidak memberi hak secukupnya kepada pemberi maklumat, media dan rakyat berikutan akta itu melarang pendedahan melibatkan rahsia kerajaan kepada umum walaupun wujud salah laku.

Justeru, katanya, Akta Kebebasan Maklumat perlu digubal bagi menjamin ketelusan pentadbiran kerajaan dan hak rakyat terhadap kebebasan maklumat seperti dilakukan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang pada 2011 dan 2012.

TAGS