Malaysia Dateline

Usah polemikkan isu beri kontrak kerajaan kepada ketua bahagian, cawangan, kata MPT Bersatu

Mana-mana pihak tidak perlu mempolemikkan cadangan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Rashid Abdul Rahman agar ketua-ketua bahagian dan cawangan parti itu diberikan projek kerajaan.

Perkara itu ditegaskan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Abu Bakar Yahya yang mana beliau menyifatkan cadangan tersebut hanyalah pandangan yang dilontarkan Rashid dan bukannya keputusan atau ketetapan yang dipersetujui sebulat suara oleh parti itu.

“Bersatu merupakan parti yang mengamalkan prinsip terbuka, menerima pelbagai pandangan daripada semua pihak. Justeru semua pihak bebas mengemukakan sebarang cadangan yang mereka rasakan perlu.

“Bagaimanapun, tidak semestinya cadangan yang dibuat itu diterima serta diluluskan oleh parti sebagai satu ketetapan. Justeru, saya fikir tidak perlu perbesar-besarkan apa yang dinyatakan oleh Tan Sri Rashid itu,” katanya hari ini dalam satu kenyatakan dipetik.

Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Rashid semasa menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan ke-2 Bersatu Ahad lepas, turut mencadangkan peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dikembalikan supaya sistem itu memanfaatkan ketua cawangan dan bahagian parti selain diberikan semula kepada masyarakat setempat.

Menurutnya kaedah itu berupaya memastikan ketua bahagian dan cawangan mempunyai peruntukan mencukupi untuk menjalankan program di kawasan mereka sekaligus meraih sokongan pengundi.

Terdahulu, Abu Bakar hadir memeriahkan majlis sambutan ambang tahun baru 2019 sempena penutup Karnival Usahawan Seribu Seri 2018 anjuran Sikandi Bersatu bersama rakyat di Pantai Morib malam tadi.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangab Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin dan Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting.