Usah remehkan kritikan terhadap kerajaan baharu

Usah remehkan kritikan terhadap kerajaan baharu

Ya, orang sudah mulai kera bercakap, mempersoalkan apa yang sudah dan sedang dibuat oleh pimpinan pentadbiran kerajaan baru pasca PRU14, yang tidak seperti dijangka dan diharapkan, khasnya beberapa orang menteri yang tiada pengalaman mentadbir.

Tetapi itu bukanlah sesuatu yang menghairankan atau mengecewakan. Seperti pernah saya tulis sebelum ini kita berada dalam musim keliru dan bercelaru. Apa yang ada pada saf pimpinan kita hari ini pun bukanlah sesuatu yang biasa/normal. Ia sesuatu yang luarbiasa, yang tidak normal, suatu kombinasi yang pelik dan unik.

Maka kita perlu bersabar dan memberi masa kepada mereka.

Sementara itu, saya pernah menulis mengenai keadaan masyarakat kita yang saya sifatkan sebagai kurang berupaya, secara keseluruhannya untuk membuat lonjakan kepada tahap yang lebih maju, disebabkan oleh beberapa faktor.

Faktor utamanya ialah kebergantungan kita yang berlebihan/keterlaluan kepada politik.

Apa yang berlaku sekarang ini, maaflah, adalah bukti bahawa hipotesis saya itu benar.

Gerakan rakyat

Kemenangan Pakatan Harapan adalah kemenangan politik, pada ketika rakyat telah bangkit untuk membuat perubahan disebabkan tidak tertahan lagi menanggung derita hasil pemerintahan regim lama yang serba lanun itu, tetapi pada ketika itu pimpinan politik perubahan kita masih menghadapi masalah, yakni masalah kandungan yang bercelaru disebabkan krisis budaya dan jatidiri.

Ya, masyarakat kita sedang mengalami krisis budaya dan jatidiri. Terlalu bergantung dan percaya kepada politik dan suka berpolitik dalam segala perkara.

Padahal politik itu kandungannya tidaklah dengan sendirinya menjamin keupayaan yang diperlukan untuk kehidupan yang lebih maju. Kelebihan politik adalah bersifat retorik.

Maka itu apabila Tun Perdana Menteri segera melantik Majlis Penasihat Kerajaan atau Council of Eminent Persons seramai lima orang diketuai Tun Daim Zainuddin, sebaik dia mengangkat sumpah Perdana Menteri itu, tak siapa pun mempersoalkan.

Hanya saya yang mempersoalkan mengapa hanya tokoh-tokoh eminent dalam bidang ekonomi dan kewangan, tetapi tidak ada tokoh-tokoh di bidang seni-budaya, keilmuan dan peradaban.

Memang yang ketara tampaknya krisis kita itu dalam ekonomi dan kewangan, tetapi faktor-faktor penyebabnya lebih bersifat masalah kemanusiaan, akhlak dan peradaban.

Pakar seni budaya, ilmu

Kita memerlukan pakar-pakar yang bukan sahaja di bidang ekonomi dan kewangan untuk secara langsung membantu Perdana Menteri dalam urusan pentadbirannya, tetapi kita juga perlukan pakar-pakar seni-budaya, keilmuan dan peradaban termasuk pentadbir profesional yang berpengalaman.

Ada menteri yang dikatakan lembab membuat keputusan yang sepatutnya dibuat, tetapi masih menangguh-nangguh dan kelihatan dia tidak menjalankan tugasnya seperti yang diharapkan.

Namun apakah tempoh waktu tiga bulan itu sudah cukup untuk kita menilai kewibawaan seseorang dalam menjalankan kerjanya?

Memahami dan mengambil kira situasi istimewa peralihan kuasa mentadbir di negara kita seperti yang dibincang di atas, saya kira biarlah kita meluangkan masa yang lebih lama sedikit untuk mereka.

Apa yang paling penting sekali ialah menamatkan tempoh pemerintahan Umno-BN yang sudah ketinggalan zaman itu. Alhamdulillah, perkara itu sudahpun selesai.

Mahathir penyumbang utama

Terimakasih Tun Mahathir yang saya anggap dialah penyumbang utama dalam kejayaan membuat pertukaran tersebut.

Sebahagian rakyat Malaysia suka dengan pertukaran kepimpinan negara ini, dan ada sebahagian lagi yang tidak suka dengan pertukaran ini, termasuk mereka yang kini bekerja di jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian berkenaan.

Hakikat ini adalah penting juga diperhitungkan dalam kita menilai prestasi menteri-menteri baru kita itu.

Jadi memanglah orang ramai sudah mulai bercakap, mempersoalkan menteri-menteri kita ada yang lembab menjalankan kerja, dan malah ada yang dikatakan salah membuat keputusan-keputusan tertentu.

Namun cakap-cakap orang ramai itu tidaklah semuanya benar dan tidaklah semuanya perlu merisaukan kita.

Pun begitu, tidaklah boleh kita kesampingkan pula semuanya, kerana sebahagiannya ada juga yang betul. Memang ada menteri kita yang perlu melakukan sesuatu bagi memperbaiki prestasi kerja mereka.

Era Anwar Presiden PKR

Perkembangan terkini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambilalih jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Timbalan Perdana Menteri).

Ini satu perkembangan menarik. Walaupun sebelum ini Anwar adalah Ketua Umum parti tersebut, tetapi dari segi kemantapan parti itu, dan kemantapan strategik kewibawaan Anwar dalam kepemimpinan negara, adalah lebih baik dia menjadi Presidennya.

Sekurang-kurangnya teka-teki apakah Azmin Ali berkemungkinan menentang Wan Azizah untuk jawatan Presiden itu, telah tidak timbul lagi.

Cuma saya perhatikan pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) agak kurang memberi perhatian kepada perkembangan parti mereka, dalam tempoh pasca kerajaan baru

Pakatan Harapan, yang nampaknya memberikan banyak keuntungan kepada mereka dan mungkin lebih banyak daripada yang mereka jangka dan harapkan.

Sekadar terlopong

Apakah mereka terlalu gembira dan bahagia dengan pemberian dan hadiah istimewa dari Tun Dr Mahathir itu, hingga mereka menjadi leka dan asyik dengan kedudukan selesa masing-masing lalu terlupa pada ramai kawan-kawan seperjuangan yang hanya terlopong memerhati gelagat mereka!

Sekali lagi saya sebutkan di sini bahawa bukan orang politik sahaja yang menyumbang dan bertanggungjawab membuat perubahan dalam kerajaan Malaysia hari ini, dan apatah lagi dalam menentukan arah kehidupan baru masyarakat kita di masa depan.

Golongan budayawan, intelektual, profesional, seniman dan aktivis sosial juga mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya, apatah lagi memikirkan masalah krisis budaya dan jatidiri yang sedang dialami masyarakat kita.

Golongan ini, yang sangat rapat malah yang berada bersama di dalam saf perjuangan parti AMANAH sejak ditubuhkan, pun kini sudah mulai bercakap.

Faham-fahamlah ya!