Malaysia Dateline

Mahasiswa universiti

Usah tambah pengangguran dalam kalangan lepasan universiti

Cadangan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sepertimana yang hangat diperkatakan kini, harus diberi perhatian serius.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Bahagian, Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang ketika ditemui Malaysia Dateline semalam.

Katanya, cadangan untuk meminimakan jumlah penjawat awam bukan sahaja melibatkan mereka yang mencapai usia bersara, tetapi juga peluang pekerjaan bagi lepasan sekolah dan universiti.

Azmi Alang

“Usaha ini merupakan salah satu alternatif kerajaan bagi mengurangkan kos dan penjimatan.

“Namun begitu dari satu sudut yang lain, beberapa persediaan lain harus juga direncanakan bagi jangkamasa panjang.

“Apabila jumlah pengambilan dikurangkan, sudah pasti akan wujudnya kadar pengangguran sekiranya peluang pekerjaan tidak disediakan secukupnya,” tegasnya.

Justeru itu pelan perancangan yang lebih rapi mesti dilaksanakan sebelum ianya dapat direalisasikan.

“Apakah sebagai kerajaan kita menyediakan ruang yang secukupnya kepada lepasan sekolah dan universiti bagi mendapatkan peluang pekerjaan.

“Bagaimana dengan pelan untuk memastikan tidak wujudnya pertambahan kadar pengangguran khususnya dikalangan lepasan universiti sekiranya jumlah pengambilan penjawat awam dikurangkan.

“Cukupkah sektor perindustrian dan perkilangan yang telah disediakan bagi setiap negeri yang ada bagi menampung lambakan keluaran universiti seandainya cadangan pengurangan tersebut dilaksanakan tidak lama lagi, ” tanya beliau.

Sejajar dengan itu, kata Azmi, setiap perancangan yang melibatkan tenaga kerja harus diberi pertimbangan yang serius oleh kerajaan.

“Kita tidak mahu hanya cadangan dan proposal untuk pengurangan saja yang dibentangkan.

“Sebaliknya bagaimana hendak menyediakan peluang pekerjaan yang secukupnya kepada golongan muda dan lepasan sekolah maupun universiti di seluruh negara.

“Maka itu kerajaan sedia ada dibawah pimpinan Pakatan Harapan mesti buktikan bahawa kita akan membawa perubahan yang lebih baik dari kerajaan BN terdahulu dalam membela nasib rakyat dengan pelan yang diyakini oleh rakyat, ” tambahnya lagi.