Malaysia Dateline

Usah tampal nama tokoh umat pada pusat tahfiz yang teruk

Ada pihak buka pusat tahfiz dengan sumber yang sangat terhad. Beli tanah secara hutang, kemudian mula buat bangunan.

Buat bangunan pun sekadar asas saja. Nampaklah tiang simen sebatang dua sudah mula terpacak.

Itu pun hutang juga dengan kontraktor. Bangunan tanpa plan dan status syarat tanah pun tidak jelas.

Kemudian, tular dalam Facebook nak buka pusat tahfiz dan perlukan dana sebanyak beberapa juta ringgit.

Buka akaun bank atas nama jawatankuasa atau atas nama NGO untuk orang ramai salur sumbangan. Ada yang buka atas nama individu.

Pusat tahfiz belum ada, tapi nama pusat tahfiz sudah ada. Nama pun istimewa untuk tarik simpati orang ramai.

Letak nama Maahad Tahfiz Imam dot dot dot. Dipilih nama salah seorang imam mazhab yang empat.

Atau nama-nama tokoh umat yang lain. Tapi setakat ini belum ada nama pusat tahfiz yang ambil nama Ibn Taimiyyah.

Kenapa letak nama tokoh umat itu? Oh, nak ambil berkat ilmu, nak ambil semangat ketokohan dan macam-macam lagilah.

Baguslah kalau begitu. Cuma isunya, pusat tahfiz yang kamu buat itu tidak menggambarkan harapan kamu itu.

Kalau pelajar yang diambil tidak berkualiti, kurikulum tidak jelas, manhaj berterabur, guru tidak terlatih, bagaimana kamu tempelkan nama tokoh umat pada pusat tahfiz kamu?

Sebenarnya kamu telah menghina dan menjatuhkan tokoh umat itu. Nanti orang kata, begini saja Pusat Tahfiz Imam dot dot dot?

Nama imam itu nama besar. Pusat tahfiz yang kamu buat pula sangat teruk. Bagaimana kamu boleh tampal nama tokoh besar kepada sebuah institusi yang teruk? Ini suatu penghinaan kepada tokoh umat.

Kamu nak buat pusat tahfiz silakan. Kamu nak minta sumbangan, itu hal kamu. Jual nama tokoh untuk kerja kamu yang entah jadi entah tidak eloklah dielakkan.

Kalau kamu nak buat juga letak saja nama kamu sendiri. Misalnya nama kamu Sameon, letaklah Maahad Tahfiz al-Sameoni.

Lepas itu mintalah derma. Tengoklah sejauh mana hebatnya nama kamu itu. Tidak payahlah jual nama tokoh umat.

* Penulis ialah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH.